Berita

Tarik balik iklan seksis tak cukup, Firefly perlu minta maaf, kata Adun DAP

PETALING JAYA, 14 MAC: Insiden syarikat penerbangan Firefly menggunakan imej punggung wanita dalam iklan tawaran tiket murah bagi menarik perhatian pelanggan perlu dijadikan peringatan kepada syarikat lain agar menjadi lebih peka terhadap eksploitasi gender dalam mempromosi produk atau perkhidmatan mereka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kampung Tunku, Lau Weng San, berkata Firefly milik Penerbangan Malaysia (MAS) itu bukanlah satu-satunya syarikat yang perlu dikritik memandangkan banyak syarikat lain, termasuk syarikat penerbangan cenderung menyalahgunakan wanita dalam iklan mereka.

“Sudah tiba masanya semua syarikat patut lebih berhati-hati semasa mempromosi produk. Mereka perlu menjadi lebih peka gender dan meletakkan usaha yang bersesuaian dalam menambah baik perkhidmatan kepada pelanggan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau yang juga Penolong Bendahari DAP Selangor mengulas tindakan Firefly memaparkan iklan tawaran tiket murah di laman rasmi dan Facebook dua hari lalu yang menggunakan imej dua punggung wanita bertulis 50% dan 10%. Namun, perbuatan itu mendapat kritikan negatif pelbagai pihak sehingga syarikat itu kini memadam iklan itu di laman sosial.

Menurut Weng San, walaupun iklan itu telah dikeluarkan, Firefly patut bertindak lebih dari sekadar itu dengan meminta maaf secara terbuka kepada semua wanita berikutan ia pernah melakukan perkara sama dalam iklannya pada Julai 2015.

“Ia bukanlah kali pertama syarikat itu menyalahgunakan wanita dalam iklan di laman sosial dan bercetak. Sebelum ini, iklan Firefly yang menggunakan imej tubuh wanita turut dipaparkan di akhbar tempatan pada Julai tahun lalu.

“Justeru, menarik balik iklan itu dari laman sosial dan memberitahu rakyat bahawa iklan mereka tidak bertujuan untuk menyinggung mana-mana pihak adalah tidak cukup.

“Mereka wajib meminta maaf secara terbuka kepada semua wanita atas perbuatan tidak bertanggungjawab tersebut,” katanya. – Roketkini.com