Berita

Deklarasi Rakyat sulitkan UMNO main isu perkauman untuk PRU14

KUALA LUMPUR, 15 MAC: Kerjasama Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Lim Kit Siang serta para pemimpin pembangkang lain akan menyukarkan propaganda UMNO mempergunakan isu kaum dan agama seperti yang biasa mereka lakukan selama ini.

Dengan itu, usaha untuk menyingkirkan Datuk Seri Najib Razak daripada jawatan Perdana Menteri melalui pilihanraya umum akan datang tidak akan dibantutkan lagi dengan isu perkauman dan agama.

Ini kerana propaganda jahat sedemikian semakin mudah dikikis apabila pemimpin-pemimpin masyarakat sivik, pemimpin politik dan individu Malaysia telah memusatkan matlamat mereka untuk menyelamatkan negara dengan menandatangani Deklarasi Rakyat pada 4 Mac lalu, kata Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan, Anthony Loke Siew Fook.

“Mereka takutkan orang Melayu, kononnya kalau Pakatan Harapan menang, DAP akan berkuasa dan orang Melayu akan terjejas. Jadi fokus mereka bukan kepada pentadbiran negara, bukan kepada integriti pemimpin kerajaan.

“Jadi kita lihat pada hari ini, kita boleh bersama-sama Tun Mahathir untuk mahu selamatkan negara kerana kita hilang kepercayaan kepada Najib.

“Kita nak singkirkan Najib kerana skandal beliau dalam 1MDB, skandal derma RM2.6 bilion, salah tadbir negara dan juga kepincangan politiknya. Jadi dengan adanya Tun Mahathir, tak boleh dinafikan, ini akan memberi keyakinan baru kepada pemikiran orang Melayu untuk fokus kepada isu sebenar,” katanya.

Bercakap kepada Roketkini di sini, Anthony yang juga Ahli Parlimen Seremban menjelaskan, dengan adanya tokoh-tokoh besar bekas pemimpin negara dalam gabunganraya Selamatkan Malaysia, UMNO-BN tidak akan ada modal untuk memainkan sentimen perkauman dan agama.

Ini kerana, menurut beliau, sentimen perkauman dan agama boleh dineutralkan kerana pemimpin berpengaruh seperti Mahathir dan Muhyiddin turut bercakap mengenai skandal 1MDB, skandal derma RM2.6 billion dan banyak lagi masalah negara.

“Kita perlu akui bahawa kehadiran Mahathir ada pengaruh yang besar kepada rakyat Malaysia. Kalau Mahathir tak boleh mainkan peranan ini, siapa lagi yang boleh mainkan peranan ini untuk ubah tanggapan jahat dan fitnah kepada pembangkang selama ini.

“Lebih-lebih lagi, sekarang kita nak yakinkan juga ahli-ahli biasa UMNO bahawa mereka juga sengsara seperti rakyat Malaysia yang lain akibat pentadbiran Najib,” tambah beliau.

Anthony menasihatkan semua penyokong Pakatan Harapan supaya tidak bimbang atau mempertikaikan kerjasama dalam gabunganraya Selamatkan Malaysia kerana ia bukan soal “boleh percaya Mahathir atau tidak.”

Beliau menegaskan, pembangkang tidak perlu bergantung kepada Mahathir untuk meneruskan agenda reformasi.

“Kalau kita berjaya bawa perubahan dan jatuhkan Najib, pemimpin yang menggantikan Najib sebagai Perdana Menteri sudah tentu bukan Mahathir. Bukan dia yang akan jadi Perdana Menteri semula.

“Yang penting sekarang ini matlamatnya ialah untuk selamatkan Malaysia, dan ini boleh dicapai dengan undurnya Najib. Dan cara terbaik untuk mencapainya ialah dengan PRU ke-14,” katanya.

Menghuraikan kaedah menyingkirkan Najib, beliau memberi tiga senario untuk melaksanakannya secara sah mengikut undang-undang dan Perlembagaan.

Katanya, cara pertama adalah dengan undi tidak percaya di Parlimen dengan mendapatkan sokongan 112 Ahli Parlimen untuk menandatangani surat akuan bahawa mereka telah hilang kepercayaan kepada Najib sebagai Perdana Menteri.

Namun, oleh kerana blok pembangkang termasuk PAS buat masa ini hanya mempunyai 87 Ahli Parlimen, ia tidak mencukupi untuk mencapai angka majoriti mudah tersebut.

“Jadi untuk mencapai angka 112 orang, kita perlukan 25 Ahli Parlimen Barisan Nasional. Tetapi secara realistiknya, kita tak ada Ahli Parlimen BN yang berani seramai itu, dan cara ini sukar dijayakan,” jelasnya.

Cara kedua adalah melalui proses dalaman UMNO melalui Majlis Tertinggi parti itu, kata beliau, namun, menurutnya, ia juga sukar dilaksanakan memandangkan kedudukan Najib yang masih mendapat sokongan dalam UMNO.

“Jadi kita hanya tinggal satu lagi satu cara, iaitu kita harus tunggu pilihanraya umum ke-14. Dan sementara menunggu  PRU, kita giatkan kempen penerangan kepada semua rakyat agar jelas dan tiada salah faham tentang matlamat sebenar Selamatkan Malaysia,” katanya. – Roketkini.com