Berita

Kerajaan henti cetak buku percuma aktiviti sekolah, DAP tuntut penjelasan

KUALA LUMPUR, 15 MAC: DAP mempersoal tindakan Kerajaan Persekutuan menghentikan cetakan buku aktiviti bagi tahun satu hingga tiga sekolah rendah yang diberi secara percuma kononnya kerana mahu mengoptimumkan perbelanjaan bagi menghadapi ekonomi semasa.

Terkejut dengan tindakan itu, Setiausaha Wanita DAP Kebangsaan, Teo Nie Ching, berkata kerajaan tidak patut menghentikan buku cetakan semula (BCS) yang diberi percuma itu kerana ia akan menambah beban keluarga tidak berkemampuan.

Walaupun nilai sebuah buku aktiviti itu hanya RM4, bagi keluarga miskin atau mempunyai ramai anak yang bersekolah, perkara itu membebankan mereka.

“Kerajaan tidak harus menjadikan masalah ekonomi sebagai punca peruntukan BCS dihentikan, sedangkan jumlah peruntukan bagi pengurusan Jabatan Perdana Menteri terus ditambah,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas pendedahan syarikat buku dilapor media kelmarin bahawa mereka menerima surat rasmi dari Pengarah Bahagian Buku Teks Kementerian Pendidikan Malaysia yang menyatakan peruntukan untuk pembekalan buku teks kini hanya mencukupi untuk pelaksanaan pembekalan buku teks terbitan baharu (BTB) sahaja.

Malah, pesanan bagi BCS termasuk buku aktiviti hanya akan dilaksanakan selepas ini jika pihak Kementerian Pendidikan Malaysia menerima peruntukan tambahan bagi tujuan berkenaan.

Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai berkata, dasar kerajaan mengorbankan pendidikan, terutama bagi mereka yang tidak berkemampuan amat mengecewakan, justeru perlu dipersoal.

“Adakah Kerajaan BN kini tidak mampu lagi untuk memberi pendidikan asas kepada rakyat jelata hingga menarik balik pemberian buku percuma?

“Saya gesa Menteri Pendidikan Malaysia tidak cuba berdalih dan dapat memberi jawapan jelas terhadap isu ini,” katanya.

Semalam, Ahli Parlimen Rasah, Teo Kok Seong, telah membidas kerajaan kerana membazirkan wang rakyat berikutan unit propaganda Jabatan Hal-Ehwal Khas (JASA) telah membelanjakan RM606,250 untuk mencetak buku “1MDB: Siapa Kata Tidak Dijawab” bagi mempertahankan skandal mega BN.

Bukan itu sahaja, katanya, kerajaan BN juga menghabiskan wang rakyat dengan menerbitkan buku mempertahankan kumpulan ketuanan kaum “Himpunan Baju Merah” yang menelan belanja RM12,000.

Sehubungan itu, beliau mendesak Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak, yang mendedahkan butir-butir tersebut di Parlimen semalam, supaya memberi penjelasan lanjut tentang pembaziran wang rakyat sewaktu rakyat menghadapi tekanan ekonomi. – Roketkini.com