Berita

PRU14 bakal satukan semua yang tak setuju dengan Najib

KUALA LUMPUR, 15 MAC: Ruang untuk “kuasa ketiga” dalam Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang menjadi sangat kecil kerana ia bakal menjadi medan pertempuran di antara penentang Datuk Seri Najib Razak dan penyokong tegarnya jika beliau masih lagi menjadi Perdana Menteri pada masa itu.

Pengarah Pendidikan Politik DAP Kebangsaan, Liew Chin Tong, berkata ia berikutan pelbagai pihak dari parti pembangkang, kerajaan serta badan bukan kerajaan (NGO) mula bekerjasama bagi mendesak peletakan jawatan Najib selepas menandatangani Deklarasi Rakyat 4 Mac lalu.

“Dalam Pilihan Raya Umum akan datang, kita akan lihat pertempuran di antara kumpulan anti-Najib dan pro-Najib sekiranya beliau masih menjadi Perdana Menteri.

“Jika itu yang berlaku, ia bermakna tidak ada ruang untuk pihak ketiga dalam pilihan raya tersebut. Justeru, adalah amat penting bagi pengkritik Najib bersama-sama menyusun strategi agar berjaya membuat pembaharuan dan mewujudkan negara baru yang mensejahterakan rakyat.

“Walaupun ada kritikan di kalangan NGO, malah segelintir orang parti pembangkang, rakyat Malaysia secara keseluruhannya berasa gembira kerana akhirnya semua pihak bersatu-padu untuk menyingkirkan Perdana Menteri yang terpalit dengan pelbagai skandal rasuah. Mereka yakin harapan masih ada,” katanya pada sidang media sambutan ulang tahun DAP ke-50 di ibu pejabat DAP di sini, semalam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kluang berkata, formula UMNO-Barisan Nasional yang berasaskan pembahagian kaum dan sistem kroni telah gagal sejak PRU 2008 memandangkan rakyat kini tidak lagi mudah termakan dengan propaganda berbaur perkauman.

“Sejak 2008, selain UMNO, parti-parti lain dalam Barisan Nasional hilang sokongan rakyat. UMNO pula hanya mendapat sokongan dari separuh pengundi Melayu. Ia membuktikan formula mereka sudah gagal.

“Rakyat kini sudah tidak percaya dengan pelbagai tuduhan UMNO yang berbaur perkauman, malah, mereka semakin kritikal terhadap aspek integriti dan kestabilan ekonomi serta sosial di negara ini,” katanya.

Chin Tong berkata, bukti kegagalan formula UMNO-BN dapat dilihat pada PRU13 di mana walaupun ia mempergunakan pelbagai agensi kerajaan seperti Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Biro Tatanegara (BTN) dan banyak lagi serta menabur wang kepada pengundi, UMNO-BN hanya mampu mendapat undi popular 47 peratus sahaja.

Justeru, katanya, UMNO kini tidak lagi mampu mendapat sokongan dari mana-mana lapisan masyarakat kecuali dari penyokong tegar mereka yang masih termakan dengan sentimen perkauman dimainkan parti itu.

Memandangkan UMNO sudah tidak relevan, beliau mahu semua pihak melihat betapa pentingnya peranan pimpinan dan ahlii Pakatan Harapan bersama gabunganraya “Selamatkan Malaysia” dapat menghasilkan formula terbaik bagi menjamin masa depan lebih cerah pasca-BN untuk negara ini.

“Apa yang penting kini adalah membentuk semula negara dengan menyingkir semua pihak yang terpalit dengan skandal rasuah dan memulihkan kembali institusi kerajaan.

“Kita tidak boleh lagi berbicara tentang isu-isu biasa, sebaliknya perlu mengerah seluruh tenaga agar fokus terhadap isu lebih kritikal melibatkan rakyat,” katanya.

Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Teresa Kok yang turut hadir pada sidang media itu berpendapat, berbanding PRU sebelum ini, rakyat hari ini lebih kecewa dengan corak pemerintahan Najib, terutama dalam aspek ekonomi.

“Selepas Penerbangan Malaysia (MAS) dan Petronas bertindak memberhentikan ribuan pekerja, ia semakin menambah kemarahan rakyat, lebih-lebih lagi apabila pemimpin terlibat dengan skandal berbilion ringgit.

“Saya yakin bahawa rakyat kini makin membenci UMNO-Barisan Nasional berbanding pada tahun 2008 dan 2013 lalu. Lebih-lebih lagi apabila rakyat dibebankan dengan cukai GST,” katanya. – Roketkini.com