Berita

Adun Mentakab kecam Menteri ugut pendeposit Tabung Haji

KUALA LUMPUR, 16 MAC: Kenyataan berbaur ugutan oleh seorang Menteri terhadap pendeposit yang telah hilang kepercayaan terhadap kemampuan Lembaga Tabung Haji mengurus wang simpanan mereka, telah mendapat kecaman seorang Ahli Dewan Undangan Negeri di Pahang.

Adun Mentakab, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji, berkata adalah menjadi hak pendeposit untuk merasa bimbang terhadap tahap keselamatan wang yang dilabur dan disimpan mereka di dalam agensi pengurusan ibadah haji itu.

“Oleh itu pendeposit berhak untuk menarik balik kepercayaan mereka terhadap pengurusan Tabung Haji apabila mereka merasakan ia tidak telus,” katanya kepada Roketkini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom di sidang Parlimen pada Isnin lalu yang memberi amaran bahawa pendeposit Tabung Haji yang mengeluarkan kesemua wang simpanan mereka, secara automatik terkeluar dari giliran menunaikan Haji.

Khir dilaporkan media sebagai berkata: “Bila mereka keluarkan deposit, dia keluarkan dirinya daripada giliran menunaikan haji…bila mereka tarik diri dan kemudian daftar semula, dia terpaksa menunggu pula mungkin lebih daripada 70 tahun.”

Membidas keras kenyataan itu, Tengku Zulpuri yang juga Naib Pengerusi DAP Pahang berkata, agensi terbabit yang sebelum ini mengambil langkah yang dilihat kontroversi, sepatutnya memberi keyakinan terhadap pendeposit dan bukannya memberikan ugutan atau amaran.

“(Khir) sebagai seorang menteri dalam menguruskan hal ehwal agama Islam lebih-lebih lagi yang melibatkan rukun Islam mestilah bersikap lebih bertanggungjawab dan bukannya cuba menakut-nakutkan pendeposit tapi sepatutnya memberikan keyakinan kepada mereka,” tegasnya.

Katanya, kredibiliti agensi pengurusan rukun Islam kelima itu diragui berikutan isu penjualan tanah di bawah harga pasaran kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang mengundang pelbagai kontroversi mahupun kritikan masyarakat.

“Dalam buku balas balik isu 1MDB jelas bahawa Tabung Haji terlibat dalam penjualan tanah kerajaan yang mana Tabung Haji boleh mendapatkan keuntungan yang lebih jika jual kepada pihak lain selain pihak 1MDB dengan harga pasaran. Mengapa mereka tak lakukan?

“Malah, sebelum ini pun Tabung Haji telah mencatatkan kerugian ratusan juta dalam pelaburan hartanah dan sebagainya.

“Apabila ini sudah berlaku keyakinan saya sendiri sebagai seorang yang beragama Islam dan rakyat Malaysia sudah terhakis terhadap pengurusan Tabung Haji,” katanya.

Justeru, katanya lagi, adalah tidak pelik dan wajar bagi seorang rakyat yang berfikiran waras untuk meragui kemampuan agensi berkenaan dalam urusan wang pendeposit terbabit.

“Rakyat akan berfikir jika wang yang disimpan untuk tujuan kegunaan beribadah pun diperlakukan macam itu, bagaimana pula wang-wang yang lain?” katanya. – Roketkini.com