Berita

Tarif elektrik dan deposit tinggi SESB bebankan pengguna Sabah

KUALA LUMPUR, 17 MAC: Syarikat pembekal elektrik di Sabah SESB diminta mengurangkan tarif elektrik pengguna berikutan penurunan harga minyak mentah dunia, dan menyelesaikan gangguan elektrik yang sering berlaku di negeri itu.

Demikian gesa Ahli Parlimen Sandakan, Stephen Wong Tien Fatt, dalam ucapan perbahasannya di Parlimen baru-baru ini yang turut mempersoalkan kelemahan sistem penyampaian perkhidmatan SESB kepada pengguna.

“Bekalan elektrik sering bermasalah di Sabah khususnya kawasan saya di Sandakan yang sering mengalami gangguan akibat kekurangan bekalan tenaga yang diuruskan SESB.

“Lebih mengecewakan, walaupun prestasi tidak baik, SESB masih mengenakan tarif yang amat tinggi dan perkara ini menyebabkan rakyat Sabah berasa tidak berpuas hati,” katanya.

Beliau mempersoalkan, mengapa tarif elektrik tidak dapat diturunkan sedangkan harga minyak antarabangsa jatuh mendadak.

Namun, katanya, apabila harga minyak naik, pihak SESB mendakwa mereka akan mengalami kerugian jika tidak menaikkan tarif elektrik walaupun syarikat milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu mencatatkan  mendapat keuntungan yang lumayan.

“Pada tahun 2013, perolehan keuntungan SESB dilaporkan ialah sebanyak RM1.42 bilion manakala keuntungan selepas cukai pula ialah RM13.8 juta. Pada ketika itu, harga minyak antarabangsa adalah sekitar USD100 per barrel, berbanding hari ini yang tiga kali ganda rendah.

“Ini bermaksud, SESB telah pun membuat keuntungan yang banyak sewaktu harga minyak masih tinggi, namun SESB enggan menurunkan tarif mereka walaupun harga minyak dunia jatuh pada waktu ini,” jelas Stephen yang juga Pengerusi DAP Sabah.

Melalui perbandingan itu, walaupun harga tarif tinggi dan membuat keuntungan yang banyak, prestasinya masih jauh kurang memuaskan.

Perkara ini sudah tentu jelas menunjukkan sikap yang tidak adil terhadap rakyat Sabah.

Dalam pada itu Stephen juga mahu supaya SESB tidak sesuka hati menaikkan depositnya kepada pengguna yang membebankan rakyat biasa dan peniaga.

“Perkara ini amat tidak wajar berlaku di mana, apabila penggunaan elektrik naik, SESB menaikkan dua bulan depositnya, tetapi apabila penggunaan purata enam bulan elektrik pengguna itu turun, deposit itu susah dibayar semula kepada pengguna.

“Bagi saya, deposit sepatutnya tidak perlu dikenakan berkali-kali dan jika pengguna itu didapati tidak membayar bil mereka, maka SESB boleh hentikan perkhidmatan, bukan mengenakan deposit yang begitu tinggi.

“Saya berharap, SESB dapat memberi perhatian terhadap aduan daripada pengguna dan mengambil langkah yang sesuai untuk mengatasinya dengan segera,” ujar beliau.- Roketkini.com