Berita

Sarawak: Pengundi Melanau diseru pecah ‘dongeng’ pembangunan BN

KUCHING, 20 MAC: ‘Dongeng’ politik pembangunan yang dicipta pemimpin Barisan Nasional-PBB di Sarawak hanyalah untuk memancing undi menjelang Pilihan Raya Negeri; hakikatnya pembangunan infrastruktur terus terabai di banyak kawasan yang diwakili BN sendiri.

Penolong Setiausaha Publisiti DAPSY Petra Jaya, Abdul Aziz Isa, berkata pemimpin BN mengelirukan rakyat dengan mengatakan “jika sokong pembangkang, tidak ada duit pembangunan” sedangkan wang kerajaan adalah hasil kutipan cukai dari rakyat.

“Ini adalah dongeng politik pembangunan yang diciptakan pemimpin PBB-BN. Ironinya, kebanyakan kawasan yang dimenangi BN tiada pembangunan berbanding kawasan yang dimenangi pembangkang yang sering dibawakan bantuan infrastruktur,” katanya kepada Roketkini.

Beliau mengajak rakyat Sarawak khususnya orang Melanau melakukan perubahan dengan memilih pembangkang pada pilihanraya negeri akan datang.

“Pemimpin-pemimpin BN di kalangan orang Melanau kaya-raya tetapi hakikatnya kurang 10 peratus orang Melanau yang hidup senang. Masih ramai yang miskin,” ujar beliau yang tidak menafikan bahawa kekayaan yang dimonopoli segelintir pemimpin Melanau telah memberi tanggapan negatif terhadap masyarakat Melanau.

Namun, Pembantu Khas kepada Ahli Parlimen Kuching itu berkata, penindasan terhadap rakyat melalui BN berlaku kepada siapa juga tanpa batasan suku atau bangsa.

“Misalnya, di Belawai dan Semop, ada isu rampasan tanah orang Melanau berlaku. Orang Melanau sendiri dirampas tanah, masih ramai yang hidup miskin, petani kecil-kecilan, banyak kawasan yang tidak ada akses jalan kecuali menaiki bot, mereka semua diwakili oleh BN,” ujarnya.

Aziz turut menyenaraikan beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri dengan majoriti pengundi Melanau yang diwakili BN yang sebahagian besarnya masih jauh ketinggalan dari segi pembangunan, termasuk DUN Baligian, Dalat, Telian, Semop, Daro, Nangka, Jepak, Lambir, Belawai dan Jemoreng.

“Dalam perkara ini, orang Melanau perlu keluar dari ‘dongeng’ yang diceritakan pemimpin-pemimpin BN dan sama-sama melakukan perubahan dalam pilihan raya negeri akan datang.

“Hanya dengan mengukuhkan kedudukan pembangkang di Sarawak mampu untuk memperbaiki segala kelemahan dan penyelewengan yang berlaku sekaligus meningkatkan taraf hidup rakyat Sarawak,” katanya. – Roketkini.com