Berita

Demokrasi sebenar mampu rapatkan perbezaan identiti, ideologi

KUALA LUMPUR, 19 MAC: Malaysia masih dalam perjalanan menuju ke arah sistem demokrasi yang sebenar berikutan rakyat celaru tentang politik identiti negara kerana sentimen perkauman yang sering dimainkan kerajaan UMNO-Barisan Nasional.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, berkata demokrasi yang sebenar dapat mengatasi halangan identiti kaum dan agama kerana ia membawa kepada keadilan dan kesetaraan.

Menurutnya, sistem demokrasi juga harus menjadi alat untuk kerajaan mendengar dan memenuhi keperluan rakyat sepanjang masa di semua peringkat.

Katanya, ia tidak boleh diamalkan dalam bentuk “one man, one vote, one time”, seolah-olah demokrasi hanya wujud setiap lima tahun sekali apabila adanya pilihanraya.

“Oleh sebab itu, bagi mengamalkan demokrasi yang sebenar, negara ini memerlukan perubahan rejim dan perubahan sistem politik,” ujar beliau di forum “Pendemokrasian ekonomi: Respons  Muslim Demokrat dan Sosial Demokrat” anjuran DAP di sini malam tadi.

Menurut Kit Siang, Malaysia sepatutnya menjadi contoh di peringkat global kerana mampu menyatukan pelbagai kaum dan agama melalui satu prinsip sama, iaitu demokrasi.

“Asas demokrasi ialah mendengar suara rakyat secara saksama. Justeru, ia harus digunakan bagi merapatkan jurang antara rakyat dari pelbagai latar belakang.

“Deklarasi Rakyat yang ditandatangani oleh pemimpin dari ideologi politik berbeza untuk menyelamatkan Malaysia merupakan satu contoh bahawa kita berjaya menuju setapak lagi ke hadapan dalam mendukung prinsip tersebut,” katanya, menjelaskan bahawa DAP berjuang sejak 50 tahun lalu untuk memastikan demokrasi tulen menjadi amalan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, prinsip demokrasi juga selaras dengan ajaran dan nilai agama Islam yang menekankan keadilan dan kesaksamaan dalam masyarakat.

“Kita boleh mengguna pakai asas demokrasi yang selaras dengan ajaran Islam disebar oleh Nabi Muhammad 1,400 tahun lalu dengan mengamalkan dasar-dasar ekonomi dan sosial yang mesra rakyat,” katanya.

Panelis dari Mesir, Dr. Abdul Mawgoud Dardery, berkata prinsip demokrasi merupakan alternatif paling aman dan terbaik dalam menumbangkan kezaliman pemerintah.

Justeru, beliau berkata, sistem demokrasi sosial merupakan sistem yang paling adil untuk semua, malah, selaras dengan tuntutan Islam yang mengangkat kesaksamaan ekonomi di kalangan rakyat.

“Kita perlu berhenti melihat perbezaan antara demokrasi dan Islam, kerana kedua-duanya menjunjung keadilan.

“Contohnya, Perjanjian Madinah ditandatangani oleh Rasulullah saw dulu meraikan perbezaan kaum dan agama serta bersifat adil dari segi ekonomi dan sosial tanpa mengira status, pangkat atau kedudukan.

“Justeru, saya percaya, cara terbaik menghapuskan sistem diktator di negara-negara Islam adalah dengan mengamalkan prinsip demokrasi,” kata beliau yang juga merupakan salah seorang pemimpin Ikhwanul Muslimin.

Tokoh sosial demokrat Jerman, Profesor Thomas Meyer, pula berkata, demokrasi sosial perlu dijadikan alat bagi membina sebuah negara berkebajikan yang komprehensif dengan mengangkat kesaksamaan dan keadilan ekonomi.

“Demokrasi perlu digunakan bagi melahirkan dasar-dasar ekonomi yang mampu mengawal pasaran serta kuasa ekonomi di samping menjaga kebajikan rakyat.

“Ia kerana, hak sosial dan ekonomi rakyat perlu dipenuhi terlebih dahulu, dan barulah hak politik menjadi relevan di kalangan masyarakat,” katanya.

Malah, tambah beliau, sistem negara kebajikan yang memastikan keadilan dan kesaksamaan ekonomi rakyat akan membantu ekonomi negara menjadi lebih maju, seperti yang boleh dilihat di negara-negara Scandinavia.

Forum awam itu dianjurkan oleh DAP sempena menyambut ulang tahun ke-50 parti itu dengan tujuan meraikan perbincangan pendapat melibatkan isu sosial dan ekonomi rakyat.

Ia selaras dengan aspirasi DAP sebagai sebuah parti idea dan cita-cita yang memupuk percambahan budaya diskusi dan dialog di kalangan masyarakat. – Roketkini.com