Berita

Tokoh sosial demokrat Thomas Meyer bincang pendidikan politik dengan pimpinan muda DAP

KUALA LUMPUR, 19 MAC: Tokoh sosial demokrasi antarabangsa,  Profesor Thomas Meyer, telah meluangkan masa di Malaysia semalam untuk berbincang dengan para pemimpin muda DAP yang terlibat dalam hal-ehwal pendidikan politik.

Beliau diundang hadir dalam satu sesi perbincangan yang dianjurkan oleh badan pemikir Research for Social Advancement (REFSA) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Politik DAP di sini semalam.

Dalam pertemuan dengan para pemimpin muda DAP di Perpustakaan Sosial Demokrasi itu, Meyer dari Jerman berkongsi idea tentang ideologi sosial demokrasi yang mengiktiraf idealisme politik liberal dalam soal kebebasan, pendemokrasian dan kepentingan pasaran untuk memastikan negara tidak terperangkap dalam birokrasi yang terlalu ketat atau berpusat.

Menurutnya, politik arus perdana kini perlu menekankan kepada kedaulatan undang-undang untuk membolehkan demokrasi dan kesetaraan dilaksanakan di kalangan warga.

meyer02Beliau turut menjelaskan bahawa, dunia global mengamal sistem pasaran bebas tetapi keadaan itu pula menghadirkan kapitalisme yang menekan segmen yang besar dalam masyarakat.

“Bila ini berlaku, kesetaraan dan kebebasan hanya boleh dinikmati oleh sekumpulan kecil saja masyarakat, dan ini menafikan ideal yang cuba dicapai politik liberal. Maka di situ munculnya ideologi sosial demokrasi untuk mengimbangi keadaan,” katanya.

Prof Meyer yang telah menghasilkan lebih 30 judul buku dalam banyak bidang termasuk demokrasi dan media, berpendapat ideologi dapat menerajui parti melalui pendidikan politik.

Katanya, pendidikan politik amat penting kerana ia dapat mencerahkan minda, khususnya di kalangan anak muda, berikutan kegagalan media massa mendidik warga tentang politik.

“Biasanya media massa dikuasai oleh orang atau korporat tertentu yang mempunyai agenda tersendiri yang tidak mengutamakan kepentingan dan hak rakyat. Oleh itu pendidikan politik dapat menangani kelemahan media massa,” ujar beliau.

Menurutnya, pendidikan politik dapat menyampaikan maklumat asas sosial demokrasi tanpa melencong daripada matlamat asas.

Ia juga dapat memantapkan orientasi politik supaya ahli parti memahami keberkesanan ideologi dalam implementasi praktikal, tambah beliau.

Jelasnya, pendidikan politik juga menjadi latihan kemahiran bagi mempersiapkan ahli parti menghadapi realiti politik.

Perbicangan itu turut dihadiri oleh Pengarah Pendidikan Politik DAP, Liew Ching Tong; Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Teresa Kok; Pengarah Yayasan Friedrich Ebert (FES) bagi Indonesia dan Malaysia, Sergio Grassi; Presiden Kesatuan Sosialis Muda Antarabangsa (IUSY), Howard Lee, dan ramai lagi. – Roketkini.com

 

*Ini adalah kenyataan akhbar Pengarah Komunikasi Bahagian Penerangan Kerajaan Negeri, Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Yap Lee Ying, di George Town pada 19 Mac 2016