Berita

Tuduh Guan Eng untuk alih perhatian rakyat dari skandal mega Najib?

KUALA LUMPUR, 21 MAC: Pemimpin UMNO-Barisan Nasional diingatkan supaya sedar diri dan tidak melemparkan tuduhan fitnah ke atas DAP semata-mata untuk mengalih perhatian rakyat daripada skandal mega dan krisis ekonomi negara saat ini.

Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok, mengingatkan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya, serta pemimpin UMNO-BN yang lain supaya tidak membuat tuduhan palsu melibatkan pembelian rumah Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, hanya kerana UMNO mengalami masalah.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Seputeh berkata, tiada sebarang keraguan lagi bahawa UMNO sedang berhadapan dengan kemelut perebutan kuasa dan skandal mega yang dihadapi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dan sebarang cubaan untuk mengalihkan perhatian rakyat tetap akan gagal.

“Fakta tetap fakta dan pembohongan tetap pembohongan. UMNO boleh cipta pembohongan tetapi bohong tetap bohong,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menambah, tindakan pantas Guan Eng menjemput pihak media membuat liputan di rumahnya menunjukkan tiada apa yang mahu disembunyikannya.

“Kita dapat lihat gambar rumah Guan Eng tidak sama untuk dibandingkan dengan rumah pemimpin UMNO seperti ‘istana’ Khir Toyo (bekas Menteri Besar Selangor) di Shah Alam.

“Kegagalan Shabudin untuk bersua muka dengan Guan Eng juga menunjukkan wakil rakyat UMNO itu hanya berani menuduh dan berkata-kata di belakang tetapi tidak berani menegakkan hujahnya dengan berdepan dengan orang yang dituduhnya,” ujarnya.

Teresa mengulas kegagalan Ahli Parlimen Tasek Gelugor hadir ke rumah Guan Eng selepas dijemput oleh Setiausaha Agung DAP itu setelah Shabudin menuduh pembelian rumah tersebut mempunyai unsur rasuah.

“Saya memuji tindakan Guan Eng  yang berhadapan dengan fitnah jahat itu dengan berani dan berterus terang. Kita lihat ramai rakyat Malaysia yang prihatin terhadap isu ini menyatakan sokongan mereka, ini membuktikan cubaan fitnah UMNO itu akan gagal.

“UMNO dan Shabudin mungkin boleh memperbodohkan ahli mereka sendiri tetapi mereka tidak akan mampu memperolok-olokkan rakyat Malaysia yang lain,” ujar beliau. – Roketkini.com