Berita

Harga sawit jatuh jejas pekebun kecil Sabah, DAP minta kerajaan tindak segera

SANDAKAN, 21 MAC: Kerajaan dan agensi berkaitan diminta untuk menangani segera kejatuhan harga sawit mentah, khususnya di Sabah, yang telah menyebabkan kemerosotan pendapatan dalam sektor itu, terutamanya bagi pekebun-pekebun kecil seluruh negeri.

Pengerusi DAP Sabah,  Stephen Wong Tien Fatt, berkata pekebun kecil dan pengusaha sawit juga bakal menerima tekanan akibat cadangan kerajaan untuk menaikkan levi pekerja dari RM590 ke RM1,500 yang dilihat mampu memusnahkan industri sawit tempatan.

Menurut beliau, cukai yang tinggi oleh Kerajaan Persekutuan ke atas Sabah juga telah membantutkan pembangunan sektor tersebut.

“Ia telah menyebabkan eksport minyak sawit kita diperlahankan, dan kita telah gagal bersaing dengan Indonesia.

“Oleh kerana keperluan dari China dan luar negara sudah menurun, ia telah menyebabkan bekalan lebih banyak daripada keperluan, banyak stok minyak sawit overflow dan tidak dapat dijual.

“Ramai pekebun kecil sukar untuk menjual produk mereka dan menyebabkan kerugian besar kepada pekebun-pekebun,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Sandakan berharap kementerian dan agensi berkaitan dapat memberi penjelasan yang terperinci kenapa sektor minyak sawit semakin merosot dan mencari penyelesaian bagaimana untuk membangunkan semula sektor ini supaya ia lebih berdaya saing.

Beliau menambah, sewaktu pengumuman Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) tahun lalu, Sabah dilaporkan mencatatkan rekod pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) paling rendah berbanding negeri lain, dan purata negara iaitu tiga peratus sahaja.

Katanya, fakta itu menunjukkan pembangunan pelbagai sektor di Sabah telah gagal, termasuk sektor sawit. – Roketkini.com