Berita

Aktivis jelaskan sebab kerjasama dengan Mahathir untuk singkir Najib

PETALING JAYA, 24 MAC: Aktivis forum Hishamuddin Rais menempelak golongan yang mengutuk Deklarasi Rakyat dengan mendakwa mereka tidak faham atau lupa pada sejarah.

Beliau yang pernah ditahan tanpa bicara di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada era Tun Dr Mahathir Mohamad, menjelaskan bahawa gabungan antara pihak yang pernah menjadi musuh untuk melawan musuh yang lebih besar bukanlah sesuatu yang baru.

“Teori ‘united front’ bukanlah sesuatu yang baru. Sejarah telah tunjukkan, di saat British berhadapan dengan kemaraan tentera Jepun di Tanah Melayu, mereka membekalkan senjata kepada Parti Komunis Malaya untuk menentang Jepun.

“Jadi, tak perlu kutuk atau sumpah seranah, jangan malas membaca sejarah, perkara ini telah dilakukan lebih awal oleh nenek moyang kita,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam forum “Deklarasi Rakyat: Mengapa?” Di Dewan Perpustakaan Komuniti Petaling Jaya di sini malam tadi.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang,  pula berpendapat hanya melalui Deklarasi Rakyat, semua pihak mampu disatukan melangkaui perbezaan politik demi menyelamatkan negara ini daripada ketirisan, rasuah mega, salah guna kuasa, dan pencabulan undang-undang di bawah pimpinan Najib Razak.

Katanya, semua pihak harus mengetepikan perbezaan demi satu matlamat untuk menyingkirkan Najib bagui menyelamatkan Malaysia.

“Bukan sesuatu yang mudah bagi saya untuk duduk bersama Dr Mahathir.  Kita perlu ada keyakinan negara ini perlu dipulihkan. Kita tidak tahu kesan sebenarnya. Tapi kita tahu ia (gabungan) adalah perlu.

“Tetapi kita perlu hormati perbezaan pandangan dan mencuba sesuatu yang belum pernah kita lakukan,” kata beliau.

Ahli Parlimen Gelang Patah turut menjelaskan Deklarasi Rakyat adalah satu usaha berterusan yang “masih dalam proses” oleh rakyat Malaysia yang patriotik dan ia merupakan tugas yang panjang, memenatkan dan sukar.

Namun, beliau yakin ia boleh berjaya dengan sokongan majoriti besar rakyat Malaysia merentasi kaum, agama, kawasan atau politik.

Turut hadir sebagai panel dalam forum tersebut ialah Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah; aktivis hak asasi manusia, Cynthia Gabriel; peguam, Datuk Ambiga Sreenevasan, dan penyokong Dr Mahathir, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.

Maria Chin yang turut dikritik oleh kalangan NGO tertentu kerana menyokong Deklarasi Rakyat disifatkannya milik semua rakyat Malaysia turut menghuraikan sebab-sebab sokongannya kepada usaha tersebut.

“Pertama, rakyat Malaysia mempunyai satu musuh utama yang perlu disingkirkan iaitu Najib Razak yang menjadi simbol kepada salah guna kuasa dalam negara ini dan beliau perlu disingkirkan.

“Keduanya, persekutuan dalam gabungan penting untuk mendapatkan kesan yang lebih besar dan berpengaruh kepada kejayaan untuk memperbetulkan sistem negara ini.

“Ketiga…selama ini kita di jalanan, kena gas pemedih mata, kita mahu reformasi kepada sistem. Jadi,  gabungan ini adalah peluang terbaik yang dapat menarik lebih banyak sokongan rakyat,” katanya.

Cynthia Gabriel yang juga Pengarah Eksekutif Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) pula mengakui bahawa bukan sesuatu yang mudah baginya untuk menandatangani Deklarasi Rakyat yang melibatkan orang seperti Dr. Mahathir.

“Bukan sesuatu yang  mudah, sebagai aktivis hak asasi manusia, kita semua tahu sejarah tangkapan Anwar Ibrahim, ISA, kita tahu (semuanya dilakukan oleh Mahathir).

“Tetapi menandatangani deklarasi ini bukan mengenai kita mahu melupakan atau memaafkan apa yang telah berlaku. Tindakan kita tandatangan deklarasi ini ialah sebagai penegasan yang kuat bahawa kita berada dalam keadaan bahaya,” jelasnya.

Meskipun kerjasama itu dianggap berisiko, beliau berkata, ia merupakan wadah terbaik  buat masa ini bagi seluruh rakyat Malaysia dan berasa positif, kerjasama dalam gabungan Deklarasi Rakyat itu akan berhasil.

Bagi Khairuddin yang merupakan bekas Ketua Bahagian UMNO Batu Kawan pula, Deklarasi Rakyat merupakan milik rakyat, dari rakyat dan hak rakyat untuk rakyat.

“Ia bukan milik Tun Dr Mahathir atau sesiapa pun. Niat untuk wujudkan Deklarasi Rakyat ini semata-mata untuk selamatkan Malaysia dari terus jatuh tersungkur.

“Bila kita tengok keadaan negara kita pada hari ini, ia telah dinodai dan dicemari oleh Perdana Menteri Najib Razak yang telah menyalahgunakan kuasa untuk membersihkan imejnya,” ujar beliau.

Menurutnya, beliau bertindak membuat pelbagai laporan polis ke atas syarikat 1MDB di dalam dan luar negara kerana tidak mahu bersubahat dengan kemungkaran. – Roketkini.com