Berita

Rombak sistem, amal tender terbuka untuk pastikan Menteri sedar jika wang disonglap dalam kementerian

KUALA LUMPUR, 25 MAC: Kerajaan Persekutuan dinasihati supaya mengamalkan sistem tender terbuka untuk mengatasi masalah “tidak sedar” di kalangan Menteri apabila wang disonglap di kementerian masing-masing.

Ahli Parlimen Serdang, Ong Kian Ming, berkata amalan tender terbuka telah dilaksanakan dengan berjaya serta mendapat sambutan rakyat apabila ia dilaksanakan di Pulau Pinang sejak 2008.

“Ia juga berjaya mengatasi masalah-masalah ‘tersembunyi’ dalam proses pemberian dan pembahagian kontrak kerana semuanya dilaksanakan secara telus.

“Bukan sahaja tender terbuka mesti dibuat tetapi proses mesti dirombak semula supaya pengesahan mesti dibuat untuk menentukan sama ada sesebuah program yang dikatakan telah dilaksanakan itu benar-benar telah dijalankan,” katanya kepada Roketkini.com.

Beliau mengulas kenyataan bekas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek semalam yang mengatakan tidak tahu menahu mengenai penyelewengan RM100 juta yang melibatkan pegawai kementerian yang berlaku ketika beliau memegang portfolio tersebut.

Shabery yang kini Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dilaporkan media sebagai memberi alasan: “Saya tidak menyedari. Selalu Menteri tidak berhubung terus dengan setiausaha bahagian. Setiausaha bahagian selalunya berhubung dengan ketua setiausaha dan timbalan ketua setiausaha dan ketua-ketua pengarah. Setiausaha bahagian adalah lapisan tengah”.

Isnin lalu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, mengesahkan bahawa pegawai kanan kementeriannya terlibat isu penyelewengan dana mencecah RM100 juta seperti yang didedahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Kian Ming yang juga Penolong Setiausaha DAP Selangor berkata, jika dana sebesar itu boleh disonglap dengan mudah tanpa pengetahuan Menteri yang bertanggungjawab, tidak mustahil banyak lagi kes-kes lain yang melibatkan penyalahgunaan dana rakyat masih tidak terungkai.

“Kenyataan Shabery Cheek menimbulkan banyak lagi persoalan tentang penyelewengan dana yang mungkin sedang dan telah berlaku di kementerian lain.

“Jikalau RM100 juta itu boleh disonglap begitu sahaja di satu kementerian yang mempunyai bajet tahunan yang boleh dianggap sebagai kecil, apatah lagi untuk kementerian yang mempunyai bajet yang lebih besar?

“Ada lagi kah “loophole” (lubang) di kementerian-kementerian negara kita yang tidak diketahui oleh Menteri?” Katanya. – Roketkini.com