Berita

DAP kutuk serangan di Brussels, anggap perbuatan pengecut

KUALA LUMPUR, 24 MAC: DAP mengutuk keras serangan pengganas di Brussels semalam yang mengorbankan sekurang-kurangnya 20 individu dan mencederakan 200 individu yang lain.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata insiden itu amat tragis dan tidak patut berlaku, dan patut ditolak oleh setiap pencinta keamanan kerana ia meragut nyawa yang tidak bersalah.

“Sejak 10 hari lalu, terdapat bermacam-macam serangan kejam yang berlaku di seluruh dunia seperti pengeboman kereta di Ankara, Turki yang mengorbankan 37 individu pada 13 Mac lalu.

“Selain itu, terdapat insiden serangan oleh dua pengebom berani mati di Maiduguri, Nigeria pada 16 Mac yang meragut 24 nyawa dan seorang pengebom berani mati di Istanbul pada 19 Mac di mana 5 meninggal dunia.

“Semua insiden itu amat memilukan. Setiap manusia yang mencintai keamanan perlu menolak sebarang bentuk keganasan atau serangan oleh individu-individu pengecut dan tidak berhati perut itu,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kejadian serangan letupan berkembar di lapangan terbang Brussels dan stesen metro di ibu negara Belgium itu semalam yang menyaksikan sekurang-kurangnya 20 individu maut dan 200 lagi cedera.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, keganasan bukanlah penyelesaian kepada konflik, justeru setiap individu perlu memegang teguh prinsip demokrasi untuk menjamin keamanan di seluruh dunia.

“Marilah kita semua bersatu dan bersolidariti dengan insiden pilu yang menimpa Brussels dan kawasan serangan lain bagi membuktikan bahawa aksi keganasan tidak mampu memarakkan kebencian sesama kita.

“Kita perlu memegang teguh nilai demokratik untuk menegakkan keamanan dalam menghadapi sebarang konflik,” katanya. – Roketkini.com