Berita

Tuduhan rasuah bermotif politik, kata Guan Eng

GEORGE TOWN, 24 MAC: Lim Guan Eng tidak terkejut melihat pemimpin PAS dan UMNO berganding bahu mendesak beliau bercuti sementara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan rasuah Barisan Nasional ke atasnya kerana ia adalah bermotif politik.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu yang dikaitkan dengan pembelian rumah lama berusia 30 tahun dengan penjualan tanah di Taman Manggis di sini menganggap persekongkolan pimpinan UMNO dan PAS terhadapnya itu sebagai berat sebelah dan tidak adil.

“Desakan ini adalah jelas bermotifkan politik. Kedua-dua pemimpin UMNO dan PAS tidak membuat desakan yang sama kepada Perdana Menteri untuk bercuti, ketika Datuk Seri Najib Razak didapati memiliki derma tunai USD700 juta atau RM2.6 bilion di dalam akaun peribadinya.

“Saya tidak faham kenapa saya perlu bercuti atas dakwaan palsu ini, malah saya tidak mempunyai pengaruh dan kawalan ke atas siasatan SPRM dan juga Peguam Negara, yang mempunyai kuasa pendakwaan penuh.

“Hanya Perdana Menteri yang mempunyai kuasa ke atas kedua-dua SPRM dan Peguam Negara,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat, juga pernah disiasat SPRM atas dakwaan rasuah berkait perbelanjaan mengerjakan haji ke Mekah pada tahun 2009 yang mana kemudiannya dibatalkan oleh Allahyarham.

Menurutnya, tiada siapa pun meminta Nik Aziz bercuti kerana arwah tidak mempunyai kawalan dan kuasa ke atas SPRM, dan dakwaan tersebut juga tidak berasas.

“Tambahan pula, sekiranya seorang Menteri Besar atau Ketua Menteri perlu bercuti setiap kali laporan rasuah dikemukakan kepada SPRM, ini bermakna laporan-laporan yang mengarut dan tidak berasas juga boleh dijadikan senjata politik, dan semua orang akan terpaksa bercuti,” tambah beliau.

Guan Eng menegaskan beliau sentiasa menjalankan pentadbiran yang bersih di Pulau Pinang mengikut prinsip urus tadbir CAT (Cekap, Akauntabel, Telus), termasuk melaksanakan tender terbuka yang mendapat pujian terhadap kerajaan negeri Pulau Pinang daripada Transparency International.

Sehubungan itu, beliau menjelaskan bahawa penjualan tanah kerajaan di Taman Manggis dilakukan melalui tender terbuka kepada orang awam dan kemudian diberikan kepada syarikat yang sanggup membayar harga paling tinggi.

“Bagaimana mungkin wujud amalan rasuah jika syarikat tersebut memenangi tender itu dengan merit mereka sendiri dan membayar harga paling tinggi?

“Selanjutnya, (dalam isu penjualan rumah pula) pemilik yang menjualkan kepada saya rumah tersebut tidak pernah menjadi pemegang saham atau pengarah syarikat terbabit.

“Atas sebab ini, laporan rasuah terhadap saya kepada SPRM oleh BN dan penyokongnya adalah palsu, dan merupakan konspirasi untuk membunuh karakter serta menghancurkan saya secara politik,” jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, beliau menyerahkan kepada SPRM untuk menjalankan siasatan dan menggesa mereka supaya ia dilakukan secepat mungkin supaya namanya dan nama kerajaan negeri dapat dibersihkan.

Walaupun beliau telah menyatakan kesediaan bekerjasama penuh dengan SPRM serta berharap siasatan berjalan secara adil, bebas dan professional, beliau juga bersedia membincangkan latar dakwaan rasuah itu bersama pihak-pihak yang bebas dan neutral.

Ini adalah untuk membolehkan mereka mendapat gambaran sebenar konspirasi dan pembohongan oleh BN itu, tambahnya.

“Saya menyeru para penyokong supaya bersabar berhadapan serangan-serangan oleh TV3 terhadap saya dengan laporan selama setengah jam setiap malam sambil mengesampingkan skandal rasuah RM100 juta di Kementerian Belia dan Sukan.

“Tidak hairan melihat media Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia yang dikawal BN memburuk-burukkan saya setiap hari. Beberapa akhbar berbahasa Cina juga sedang bertindak seiring dengan media BN,” ujarnya.

Beliau harap orang ramai tidak mudah percaya dan boleh membezakan kebenaran dan pembohongan, serta sedar siapa yang tidak memperjuangkan integriti serta memerangi rasuah. – Roketkini.com