Berita

Haramkan Mat Sabu masuk Sarawak: BN tak yakin menang

KUALA LUMPUR, 24 MAC: Tindakan kerajaan negeri Barisan Nasional Sarawak yang tidak demokratik kerana menghalang beberapa pemimpin tertinggi pembangkang daripada memasuki negeri itu tanpa alasan yang kukuh, memperlihatkan ketidakyakinan Barisan Nasional menghadapi pilihanraya negeri akan datang.

Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Teresa Kok, berkata tindakan itu mencerminkan Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem, tidak yakin dengan kemampuan BN untuk menyakinkan rakyat Bumi Kenyalang menyokongnya.

Beliau turut mempersoalkan berapa ramai lagi ahli pembangkang akan dihalang Adenan semata-mata mahu memberi kemenangan besar kepada Adenan dan BN.

“Jika Adenan seorang yang adil lagi berani, beliau harus bersedia untuk menjadikan pilihanraya negeri Sarawak akan datang bebas, adil dan bersih.

“Menghalang pemimpin politik pembangkang dari semenanjung ke negeri itu hanya menunjukkan ketidaksanggupan mereka untuk bertanding dengan pembangkang secara adil dan saksama,” katanya dalam satu kenyataan..

Beliau mengulas tindakan terbaru kerajaan BN Sarawak menghalang Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu daripada memasuki negeri berkenaan tanpa notis atau alasan yang jelas dan kukuh untuk berbuat demikian.

Sebelum ini, turut dikenakan tindakan yang sama antaranya ialah dua Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat, Nurul Izzah Anwar dan Chua Tian Chang; Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin; Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Tony Pua; dan Teresa sendiri. – Roketkini.com