Berita

DAP kemuka lima tuntutan atasi krisis air Tawau, termasuk bina empangan, henti pembalakan haram

TAWAU, 24 MAC: Ekoran krisis air yang kini berlanjutan lebih dua bulan, DAP Tawau mengemukakan lima tuntutan terhadap agensi-agensi kerajaan bagi mengatasi masalah tersebut.

Agensi berkenaan adalah kerajaan Persekutuan, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), kerajaan negeri Sabah, Kementerian Pembangunan Infrastruktur Negeri dan Jabatan Perhutanan Negeri.

Pengerusi DAP Tawau, Chan Foong Hin, berkata tuntutan itu mewakili rakyat tempatan yang kecewa dengan kegagalan kerajaan menyelesaikan masalah gangguan bekalan air berkenaan, termasuk kelewatan membina empangan selama 20 tahun di Gudang Empat, Cinta Mata di daerah itu.

“Walaupun krisis air di sini sering dikaitkan dengan fenomena El Nino, saya yakin bekalan air turut terjejas akibat kerajaan gagal membina empangan pada waktu ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Lima tuntutan bagi menangani krisis air yang dikemukakan DAP Tawau adalah:

  1. Menyiasat dan menghentikan aktiviti pembalakan haram di kawasan tadahan air di Tawau memandangkan pembinaan empangan akan jadi sia-sia jika tiada lagi kawasan tadahan air bersih di situ.
  2. Segera menjalankan projek empangan air Cinta Mata kerana ia merupakan satu-satunya penyelesaian jangka panjang untuk krisis air di Tawau. Tambahan pula, titik pengambilan air di loji rawatan Utara kini tidak sesuai disebabkan kawasan itu diduduki oleh setinggan sejak dari dahulu.
  3. Melaksanakan penyelesaian jangka masa pertengahan sementara menunggu pembinaan empangan, termasuk penggunaan beberapa teknologi seperti unit rawatan air mudah alih dan loji penyahgaraman.
  4. Menjalankan langkah sementara untuk menyimpan lebih banyak air hujan, seperti pengorekan tebing sungai atas tujuan pengambilan air dan penerokaan air bawah tanah.
  5. Pembenihan awan seperti dilakukan oleh MOSTI di Semenanjung agar masalah hujan dapat diatasi di Tawau.

Foong Hin yang juga Adun Sri Tanjong berkata, penduduk Tawau akan mengadakan protes di Kota Kinabalu pada Ahad ini (27 Mac) jika tiada maklumbalas daripada mana-mana agensi kerajaan yang terbabit..

“Kami akan membuat protes membotakkan kepala pada  Ahad ini jika kerajaan terus mengabaikan tuntutan kami. Malah, ia akan disaksikan oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Pengerusi DAP Sabah, Stephen Wong,” katanya.

Sebelum ini, DAP Tawau telah menggesa kerajaan berkali-kali agar melakukan pelbagai usaha bagi menangani masalah krisis air tersebut, termasuk cadangan tambahan air tangki bomba untuk mengagih air kepada pengguna. – Roketkini.com