Berita

SPRM sudah masuk pejabat Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk siasat isu pembelian rumah Ketua Menteri

GEORGE TOWN, 23 MAC: Pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah pun melawat ke pejabat Kerajaan Negeri Pulau Pinang di sini untuk menyiasat kes pembelian rumah Ketua Menteri dan penjualan tanah di Taman Manggis.

Ahli Exco Kerajaan Negeri, Chow Kon Yeow, berkata beliau yang telah dimaklumkan tentang hal itu yakin semua pegawai Kerajaan Negeri akan memberi kerjasama penuh kepada SPRM untuk menjalankan serta menyiapkan siasatan dengan segera.

“DAP Negeri Pulau Pinang menyokong segala tindakan yang diambil oleh YAB Ketua Menteri demi membantu SPRM dalam siasatan supaya dapat menegakkan prinsip urus tadbir bersih yang selama ini menjadi tunjang pemerintahan di negeri Pulau Pinang sejak tahun 2008,” katanya dalam satu kenyataan media.

Beliau yang juga Pengerusi DAP Pulau Pinang meminta ahli-ahli parti dan penyokong supaya sabar dan tabah menghadapi cabaran terbaru itu yang merupakan satu lagi usaha untuk mencemar nama baik Ketua Menteri Lim Guan Eng dan Kerajaan Negeri.

Beliau mengulas mengenai tindakan SPRM yang sangat pantas menjalankan siasatan sebaik sahaja tuduhan dan fitnah terhadap pembelian rumah oleh Guan Eng disiarkan oleh media.

Semalam, pemilik asal rumah Phang Li Koon dalam surat akuan bersumpahnya mengaku bahawa beliau menjual rumah kepada Guan Eng dan keluarga – setelah mereka menyewanya selama 6 tahun – tanpa sebarang tekanan, paksaan atau pengaruh, iaitu atas dasar kerelaan bersama pembeli dan penjual.

Phang juga mengaku tidak mahu lagi memiliki rumah tersebut selepas ia menjadi sasaran serangan bom molotov cocktail dan juga “upacara pengebumian” oleh kumpulan-kumpulan yang anti-Ketua Menteri. – Roketkini.com