Berita

Penjual rumah kepada Ketua Menteri tiada kepentingan dengan kerajaan negeri, kata Guan Eng

GEORGE TOWN, 27 MAC: Laporan polis yang dibuat Pemuda UMNO terhadap pemilik asal rumah bernombor 25 di Jalan Pinhorn di sini, Phang Li Koon, yang didakwa kononnya membuat akuan bersumpah palsu, telah dibidas oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Katanya, Pemuda UMNO mendakwa kononnya mempunyai bukti bahawa Phang ada urusan perniagaan dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang tetapi gagal mendedahkan secara terperinci.

“Mereka menyebut bahawa satu syarikat yang mana Puan Phang mempunyai 20 peratus pegangan saham, tersenarai dalam direktori agensi pekerjaan dalam laman web InvestPenang.

“Apa yang gagal dijelaskan Pemuda UMNO adalah syarikat yang disebut mereka itu bukanlah satu-satunya syarikat yang tersenarai, tetapi salah satu daripada 30 agensi pekerjaan yang tersenarai.

“Apa-apa syarikat pun boleh memohon untuk tersenarai dalam direktori berkenaan, sama seperti buku Yellow Pages,” kata Ahli Parlimen Bagan itu dalam satu kenyataannya semalam.

Tambahan pula, menurut Guan Eng, Kerajaan Pulau Pinang telah menghentikan serta-merta pengambilan pekerja asing di dalam sektor berkaitan kerajaan dan digantikan dengan pekerja tempatan; sehubungan itu, dakwaan Pemuda UMNO itu dilihat tidak berasas.

“Melainkan Kerajaan Negeri mencari khidmat pekerja asing, memang tidak ada sebab untuk Kerajaan Negeri memerlukan khidmat Puan Phang.

Pulau Pinang sudah memberhentikan penswastaan urusan angkutan sampah Majlis Perbandaran Seberang Perai kerana mereka mengambil pekerja asing sebagai pekerja, dan kini Kerajaan Negeri menggantikan mereka dengan 2,500 pekerja Malaysia,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai siasatan amat pantas kurang 48 jam polis terhadap Phang Li Koon, Setiausaha Agung DAP itu juga menempelak sikap pilih kasih polis dalam menjalankan siasatan.

Menurut Guan Eng, polis dilihat pantas melakukan siasatan terhadap laporan yang dibuat berkaitan pihak pembangkang, tetapi amat lembab dan perlahan kerja mereka apabila menerima aduan dan laporan polis terhadap parti pemerintah UMNO-BN.

“Kita tidak pernah melihat reaksi pantas polis menyiasat atau memanggil Perdana Menteri atau Menteri sebagai saksi apabila laporan polis yang dibuat terhadap pemimpin BN berkaitan skandal RM42 bilion 1MDB dan “derma” RM2.6 bilion,” tegasnya. – Roketkini.com