Berita

Solidariti DAP bersama bekas pemilik rumah Guan Eng, kutuk tekanan UMNO-BN

GEORGETOWN, 28 MAC: DAP melahirkan rasa simpati dan sokongan penuh kepada Phang Li Koon, bekas pemilik rumah Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, yang kini dikecam oleh ahli dan penyokong UMNO-Barisan Nasional selepas membuat surat Akuan Bersumpah menjelaskan perkara sebenar.

Malah, Phang kini hidup dalam keadaan tertekan apabila beberapa laporan polis dibuat terhadapnya berhubung kes penjualan rumah itu, hanya kerana beliau cuba membersihkan nama Ketua Menteri dengan menerangkan fakta sebenar.

Penolong Setiausaha Publisiti DAP Pulau Pinang, Syerleena Abdul Rashid, berkata perkara itu tidak patut berlaku kerana Phang cuma bercakap benar bagi meredakan kontroversi melibatkan Guan Eng.

Beliau turut kesal apabila Phang terpaksa menjadi mangsa kepada politik kotor dimainkan UMNO-Barisan Nasional yang selama ini cuba memburuk-burukkan Guan Eng.

“Phang tidak patut dilayan sedemikian oleh ahli dan penyokong UMNO-BN. Beliau hanya cuba menerangkan fakta sebenar dalam surat Akuan Bersumpahnya.

“Malah, kita dapat lihat dengan jelas bahawa isu ini sengaja diperbesarkan kerana ada motif politik terlibat.

“Lebih-lebih lagi apabila 50 ahli Pemuda BN Pulau Pinang dengan ahli Perkasa dan Gerakan Merah Malaysia mengadakan protes di tanah Taman Manggis baru-baru ini,” katanya dalam kenyataan media.

Menurut Syerleena yang juga Pengarah Pendidikan Politik Wanita DAP Pulau Pinang, Ketua Polis Negara dan seluruh anggota polis perlu melayan Phang dengan adil tanpa wujud apa-apa prejudis.

“Saya amat berharap agar pihak polis akan melayan Phang secara adil dan saksama tanpa dipengaruhi oleh mana-mana agenda politik kerana beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan dengan menerangkan fakta sebenar kepada orang awam.

“Kebenaran akan sentiasa menang dan kebaikan akan sentiasa dapat mengalahkan kejahatan,” katanya. – Roketkini.com