Berita

Walau “musuh politik”, pemimpin bersatu hati tuntut reformasi institusi negara

KUALA LUMPUR, 28 MAC: Kehadiran lebih 2,000 rakyat dan pemimpin yang berbeza fahaman politik, darjat, kaum dan agama, termasuk “musuh politik”, dalam satu perhimpunan di Shah Alam semalam membuktikan bahawa semua pihak mahu melihat satu perubahan positif untuk Malaysia.

Menyifatkan mereka yang hadir sebagai “prajurit Malaysia yang setia dan berdedikasi dan sayangkan negara”, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, adalah tidak wajar untuk sesetengah pihak melabel mereka yang hadir ke majlis berkenaan sebagai “pencetus masalah, anti-nasional atau pembelot”.

“Walaupun terdapat perbezaan antara 2,000 yang hadir itu, mereka bersatu hati dalam satu tujuan yang murni dan patriotik, iaitu untuk menyelamatkan Malaysia, negara yang kita kasihi dan curahkan kesetiaan tidak berbelah bahagi, dari terus menjadi sebuah negara yang dipenuhi ketidakadilan,” katanya dalam satu kenyataan.

Perhimpunan Kongres Rakyat yang dilangsungkan semalam itu berjaya mengumpul pemimpin-pemimpin daripada latar belakang berbeza antaranya, bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, dan Kit Siang sendiri serta beberapa pemimpin pembangkang, NGO dan parti pemerintah.

Terdahulu, pada 4 Mac lalu, pemimpin-pemimpin yang hadir ke majlis berkenaan telah menandatangani satu Deklarasi Rakyat yang mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berundur untuk membolehkan reformasi menyeluruh institusi negara dilaksanakan.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah itu menjelaskan salah satu objektif “Selamatkan Malaysia” melalui deklarasi berkenaan adalah untuk melaksanakan pembaharuan institusi yang bermakna bagi memulihkan kredibiliti, kebebasan, profesionalisme dan integriti institusi negara.

Katanya, pembaharuan dan pemulihan institusi negara berkenaan harus dilakukan bagi memastikan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama mendapat pengadilan yang sewajarnya dan tidak berterusan dijadikan mangsa ketidakadilan sistem.

Sehubungan itu, bertepatan dengan tuntutan deklarasi berkenaan, beliau menggesa supaya Suruhanjaya Siasatan Diraja dilaksanakan untuk mengembalikan semula kredibiliti serta kedaulatan undang-undang dan badan kehakiman yang bebas di Malaysia.

“Objektif itu adalah untuk memastikan bahawa kita menjadi sebuah negara di mana Aminulrasyid, Kugan dan Teoh Beng Hock tidak menjadi mangsa ketidakadilan sistem yang tidak adil dan zalim.

“Sistem yang mana telah benar-benar menyimpang dari jaminan kedaulatan undang-undang dan institusi semak dan imbang seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Merdeka 1957 dan Perlembagaan Malaysia 1963,” katanya.

Beliau merujuk kepada nama-nama orang muda yang menjadi mangsa kepada sistem yang tidak adil, berat sebelah dan terdapat ruang untuk salah guna kuasa, termasuk polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). – Roketkini.com