Berita

‘Siapa tukar status asal tanah Taman Manggis untuk tujuan komersil?’

KUALA LUMPUR, 28 MAC: Adakah kerajaan Barisan Nasional (BN) telah menukar status asal tanah di Taman Manggis kepada status komersial pada 2005? Ya atau tidak?

Persoalan itu dibangkitkan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, hari ini sebagai cabaran terhadap BN untuk menjelaskan kedudukan sebenar status tanah tersebut tanpa berdolak-dalik dan mencetuskan kekeliruan awam.

Katanya, penukaran status tanah tersebut adalah kesilapan kerajaan BN terdahulu yang terpaksa ditanggung kerajaan Pulau Pinang di bawah Pakatan Harapan.

Menurutnya, ini bukan alasan untuk menyalahkan kerajaan terdahulu kerana memang berlaku pada era pentadbiran sebelum Pakatan mengambil alih pada 2008.

“Ini satu kesilapan kerajaan BN terdahulu tetapi kita pula yang terpaksa tanggung akibatnya seolah-olah kerajaan Pulau Pinang di bawah Pakatan Harapan yang bersalah,” katanya kepada Roketkini.com.

Sebelum itu, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan mengadakan satu pertemuan tertutup bersama Ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan di Pejabat Pembangkang di Bangunan Parlimen di sini tengah hari tadi.

Perbincangan itu adalah untuk menjelaskan tentang fitnah yang dilemparkan terhadap Guan Eng dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang oleh pimpinan BN dalam isu pembelian rumah peribadinya– Roketkini.com