Rencana

Strok haba iklim panas: Kakitangan awam perlu dibenar ganti kot, jaket dengan pakaian lebih selesa

Pegawai polis pengsan semasa perbarisan biasa berlaku. Saya juga pernah mengalami perkara serupa semasa menyertai perbarisan sewaktu saya seorang kadet polis. Namun apa yang luar biasa ialah apabila 20 orang anggota polis menjadi mangsa strok haba akibat iklim panas luar biasa dalam sebuah acara bersama Perdana Menteri dan Ketua Polis Negara kelmarin.

Cuaca panas luar biasa ini dilaporkan tidak pernah terjadi dalam sejarah negara. Malah, media sosial turut melaporkan  kejadian ‘powerbank’ meletup dalam kereta kerana dibiar di bawah terik matahari.

Pada 16 Mac lalu, seorang pelatih polis telah terkorban akibat strok haba ketika menjalani latihan orientasi di pusat latihan polis Segamat. Sewajarnya, kerajaan mengumumkan langkah-langkah drastik bagi mengelak daripada lebih banyak nyawa terkorban akibat cuaca panas melampau ini.

Perkara pertama yang perlu diselesaikan ialah pakaian seragam polis trafik yang berlengan panjang dan kasut but tinggi yang mereka pakai ketika terpaksa berdiri di bawah terik matahari. Begitu juga sesetengah anggota keselamatan yang berkawal selain warden trafik pihak berkuasa tempatan yang bertugas di bawah panas terik.

Kita barangkali wajar mengambil contoh negara-negara luar yang membenarkan anggota penguatkuasaan peronda mereka berpakaian selesa. Malah ada antaranya yang memakai kemeja-t dan seluar pendek ketika bertugas. Mereka dapat bergerak dengan lebih pantas dan dapat bertugas dengan lebih selesa dalam cuaca panas ini.

Kedua, program-program kerajaan yang melibatkan aktiviti luar wajar ditangguhkan sehingga cuaca kembali normal. Program sebegini boleh sahaja dilakukan di dewan-dewan agensi kerajaan sekiranya ia mesti juga dijalankan.

Keperluan memakai kot atau jaket wajar diganti dengan kemeja lengan pendek atau pakaian yang lebih selesa. Pegawai kerajaan memang kelihatan terseksa terpaksa memakai kot dalam acara rasmi di bawah terik matahari dan mesyuarat-mesyuarat biasa.

Pakaian kot juga sewajarnya tidak dipakai di acara-acara lain sehingga penghawa dingin terpaksa ditetapkan di suhu paling sejuk dan memakan elektrik dengan banyak. Akhirnya nanti, bil elektrik akan ditanggung oleh rakyat juga.

Langkah-langkah ini wajar dimulakan di Putrajaya sebagai pusat pentadbiran persekutuan  supaya menjadi ikutan meluas di setiap peringkat jabatan kerajaan seluruh negara. – Roketkini.com

 

*Penulis adalah Ahli Parlimen Segambut