Berita

“Adakah Ketua Polis Negara patut minta maaf kepada keluarga arwah Aminulrasyid” polis soal Tony Pua

KUALA LUMPUR, 30 MAC: Tony Pua berkunjung ke Bukit Aman di sini hari ini, dan antara soalan yang ditanya polis kepada beliau ialah: “Adakah Ketua Polis Negara perlu meminta maaf kepada keluarga Aminulrasyid Amzah?”

Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan itu menjawab: “Memang beliau patut meminta maaf kerana mahkamah mendapati pihak polis bersalah dari segi public malfeasance (kejahatan awam)”.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara dipanggil polis untuk memberi keterangan berhubung status twitternya pada 25 Mac lalu yang kemudian dipautkan kepada laporan MalayMailOnline mengenai keengganan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar memohon maaf kepada keluarga arwah Aminulrasyid yang mati ditembak polis enam tahun lalu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Tony memberitahu wartawan di sini bahawa polis juga meminta telefon bimbitnya diserahkan bagi membantu siasatan dan ia akan diserahkan kembali esok sebagaimana yang telah ditetapkan.

Dalam perkara berkaitan, beliau juga meminta pihak polis supaya mempercepatkan siasatan terhadap kes-kes lain termasuk pendedahan terbaru rangkaian penyiaran ABC (Australian Broadcasting Corporation) mengenai salahguna kuasa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Saya telah beri kerjasama penuh dengan pihak polis dan saya harap mereka juga akan jalankan siasatan segera terhadap kes yang berbangkit sekarang termasuk laporan (dokumentari) ABC yang baru disiarkan kelmarin yang mendedahkan PM telah menggunakan wang daripada SRC International untuk membiayai perbelanjaan membeli hotel, kereta mewah dan semuanya terkandung dalam laporan  ABC itu.

“Kita harap polis juga akan menyiasat secara teliti dan bebas perkara terbabit dan membuat temujanji segera dengan pihak PM untuk mendapatkan jawapan. Bila polis panggil saya semalam, saya terus datang hari ini, kita harap sama juga dengan pihak PM,” gesanya.

Turut hadir bersama beliau ke Bukit Aman adalah Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng, sebagai peguam; Ahli Parlimen Rasah, Teo Kok Seong; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bercham, Cheong Chee King dan beberapa aktivis parti. – Roketkini.com