Berita

Istana boleh bersama rakyat untuk tekan Najib berundur

KUALA LUMPUR, 30 MAC: DAP menyokong penuh sebarang usaha mana-mana pihak yang mahu menyingkirkan pemerintah zalim dan korup atas dasar cintakan negara, termasuk merayu Majlis Raja-Raja campur tangan, selagi mana cara itu tidak menyimpang daripada asas Perlembagaan Persekutuan.

Naib Pengerusi DAP Pahang, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji, berkata pembabitan raja-raja adalah satu langkah terakhir rakyat jika segala langkah-langkah sekarang tidak dipedulikan, malah ditekan oleh kerajaan UMNO-BN.

Beliau yang juga Adun Mentakab menyatakan bahawa rakyat perlu menyingkir Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kerana segala institusi kerajaan yang sepatutnya menegakkan kebenaran dan membanteras penyelewengan telah dirosakkan oleh Najib yang mahu menutup skandal mega yang melibatkan dirinya.

“Institusi negara seperti polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Peguam Negara, malah Bank Negara Malaysia kini terpaksa mengikut telunjuk Najib.

“Pegawai penyiasat SPRM ditukarkan, Peguam Negara ditukarkan, semuanya bagi menutup salah laku dan penyelewengan yang dilakukan Najib berkaitan skandal 1MDB dan “derma” RM2.6 bilion.

“Justeru jika semua jalan dihalang, maka istana adalah ruang terakhir untuk rakyat. Sebagai contoh di negara Thailand semasa demonstrasi besar-besaran menjatuhkan kerajaan berlaku, istana lah tempat mereka mengadu,” katanya kepada Roketkini.com.

Beliau mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, bahawa gerakan ‘Selamatkan Malaysia’ melalui Deklarasi Rakyat akan membawa satu juta tandatangan ke istana untuk menuntut Najib meletakkan jawatan dan menggesa Raja-raja Melayu memberi tekanan kepada Perdana Menteri berkenaan supaya berundur. – Roketkini.com