Berita

Deklarasi Rakyat bukan agenda peribadi, ia milik semua rakyat

KUALA LUMPUR, 30 MAC: Deklarasi Rakyat yang menyaksikan sokongan rakyat pelbagai latar belakang, termasuk ahli-ahli UMNO, yang melibatkan himpunan pada 27 Mac lalu bagi menyokong agenda Selamatkan Malaysia, membuktikan ia adalah untuk kepentingan seluruh rakyat negara ini.

Ia berikutan rakyat sudah muak dengan penderitaan yang terpaksa dihadapi akibat dasar kerajaan pimpinan Najib – salah laku dan skandal rasuah tidak berkesudahan, ekonomi mendatar, nilai mata wang lemah dan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Setiausaha Sosialis Muda DAP (DAPSY) Kebangsaan, Bryan Lew Chee Kwan, berkata perjuangan semua individu yang menyokong Deklarasi Rakyat bukanlah demi kepentingan peribadi tetapi untuk menyingkir Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi menyelamatkan Malaysia.

“Kita sokong Deklarasi Rakyat bukan untuk kepentingan diri, bukan juga untuk kepentingan kaum Melayu, Cina atau India, tetapi untuk kepentingan seluruh rakyat Malaysia. Kita berjuang demi selamatkan negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, kempen itu mendapat sambutan besar-besaran kerana generasi muda kini tidak lagi termakan dengan propaganda UMNO dan Barisan Nasional, malah semakin terdedah dengan maklumat serta mampu menilai perkara yang betul atau salah.

“Jelas bahawa kerajaan BN semakin hilang pengaruh terhadap generasi muda yang lebih mudah mengakses maklumat dan berita mengenai skandal BN berbanding semasa zaman media dikawal ketat oleh kerajaan dahulu.

“Anak muda hari ini lebih celik dalam menilai perkara yang baik atau buruk. Mereka boleh tentukan sendiri apa maksud sebuah kerajaan yang bersih, bertanggungjawab dan berintegriti seperti yang dilaksanakan Pakatan Harapan di Pulau Pinang dan Selangor,” katanya.

Bryan berkata, generasi muda perlu membuktikan bahawa merekalah yang memegang kunci perubahan dengan menunjukkan kepada kerajaan BN bahawa rakyat sudah tidak dapat menerima pentadbiran Najib semasa pilihanraya negeri Sarawak yang akan datang.

“Tunjukkan kepada kerajaan BN bahawa anak mudalah yang mampu membawa perubahan kepada negara. Tunjukkan juga bahawa rakyat sudah muak dan bosan dengan segala skandal melibatkan Najib semasa pilihanraya nanti,” katanya. – Roketkini.com