Berita

Taman Manggis: Kerajaan BN dulu tolak perumahan rakyat tapi kini salahkan DAP

GEORGE TOWN, 30 MAC: Dokumen rasmi tahun 2005 yang didedahkan hari ini membuktikan kerajaan Barisan Nasional yang sebenarnya menolak cadangan tanah Taman Manggis di sini untuk dijadikan kawasan projek perumahan rakyat (PPR).

Kini pimpinan BN cuba baling batu sembunyi tangan dengan menyalahkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang pimpinan Ketua Menteri, Lim Guan Eng, melalui pelbagai fitnah dan tuduhan tidak berasas.

Dalam satu sidang media di sini hari ini, Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo, berkata pada sekitar tahun 2005 (sewaktu BN menjadi kerajaan negeri), cadangan pembinaan PPR pada 2003 telah ditukar dengan cadangan projek bercampur melibatkan rumah kedai.

“Saya merujuk kepada cabutan minit butir-butir mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang ke 34 tahun 2005 bertarikh 28 September 2005 bertajuk ‘Cadangan Pembangunan Baki Tapak Tanah Kerajaan Negeri Persimpangan Jalan Burma Jalan Zainal Abidin’.

“Apa yang disebut dalam minit mesyuarat itu ialah; Yang Berhormat Teng Chang Yeow memaklumkan Majlis bahawa sebuah perumahan kos rendah telah dimajukan di atas sebahagian tapak tanah yang berkenaan, dan adalah dicadangkan supaya baki tapak tanah yang berada di Jalan Burmah (di Taman Manggis) dibangunkan dengan projek campuran dengan rumah kedai dan kuarters kerajaan di belakang,” jelasnya.

Pada masa itu, Teng Chang Yeow adalah Adun BN merangkap Exco Kerajaan Negeri. Kini beliau adalah Pengerusi Barisan Nasional Pulau Pinang.

Pendedahan dokumen mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi tahun 2005 terpaksa didedahkan kerana pimpinan BN cuba mengaitkan pembelian rumah Guan Eng dengan status tanah Taman Manggis, dengan niat BN menimbulkan tohmahan unsur rasuah.

Menurut Jagdeep yang juga Adun Datok Keramat, dokumen rasmi mesyuarat itu turut mendedahkan bahawa Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Koh Tsu Koon pada masa itu, berpandangan bahawa tapak tanah Taman Manggis itu boleh ditawarkan tender kepada pemaju swasta supaya kerajaan negeri tidak perlu menanggung kos yang tinggi.

“Cabutan minit mesyuarat yang diklasifikasikan semula ini secara jelas menunjukkan cadangan dalam memo tahun 2003 telah diganti satu cadangan baru pada 2005.

“Ia menunjukkan jelas bahawa cadangan asal untuk membangunkan PPR telah digantikan  oleh kerajaan terdahulu dengan cadangan pembangunan bercampur iaitu rumah kedai pejabat dan kuarters kerajaan di atas tanah tersebut,” katanya. – Roketkini.com