Berita

Bukan lagi skandal ‘derma’ Najib RM2.6 bilion kerana sudah jadi RM4.2 bilion!

KUALA LUMPUR, 30 MAC: Skandal “derma” yang masuk ke dalam akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak bukan lagi RM2.6 bilion kerana ia sudah meningkat menjadi RM4.2 bilion, seperti yang didedahkan media antarabangsa.

Ekoran perkembangan terbaru itu, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah, dengan tegas meminta supaya Perdana Menteri tidak lagi berdolak-dalik dan segera tampil menjawab pendedahan terbaru itu.

Beliau turut meminta supaya isu berkenaan dibentangkan di Dewan Rakyat untuk dibahas pada dua hari terakhir persidangan, iaitu pada Rabu dan Khamis minggu depan.

“Sejak awal tahun ini, Najib sering mengatakan bahawa skandal mega berkembar, 1MDB dan ‘derma’ RM2.6 bilion yang melibatkan dirinya bukan lagi isu kerana semuanya telah ‘selesai’.

“Tetapi skandal RM2.6 bilion Najib kini sudah menjadi sejarah, dan sekarang kita perlu membincangkan mengenai skandal ‘derma’ RM4.2 billion!

“Justeru, Najib harus mengambil keputusan berani dengan memberi laporan penuh kepada Parlimen berhubung skandal mega berkembar berkenaan yang kini menghantui negara untuk sejak dua tahun dahulu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Isnin lalu, sebuah dokumentari TV bertajuk “State of Fear: Murder and Money in Malaysia” yang diterbitkan ABC News Australia dan disiarkan di negara berkenaan, serta boleh ditonton rakyat Malaysia melalui YouTube,  mendakwa terdapat aktiviti pindahan wang bernilai RM4.2 bilion dari pelbagai sumber masuk ke akaun peribadi Najib.

Sebelum ini Wall Street Journal dari Amerika Syarikat juga melaporkan dakwaan tentang Najib menerima sehingga US$1 bilion, iaitu lebih besar jumlahnya daripada yang dilaporkan sebelum ini pada nilai US681 juta. – Roketkini.com