Berita

Masyarakat Bidayuh di Mambong dipinggirkan BN

SERIAN, 31 MAC: Pilih kasih dan mungkir janji. Itu paling sesuai menggambarkan sikap kerajaan Barisan Nasional Sarawak terhadap masyarakat Dayak di luar bandar terutama dalam pembahagian pembangunan dan peluang menaiktaraf kehidupan.

Bakal calon berpotensi DAP untuk Dewan Undangan Negeri Mambong, Sanjan Anak Daik, 55, berkata berdasarkan pemerhatian dan aduan penduduk melalui ziarah rumah ke rumah, BN Sarawak telah lama meminggirkan masyarakat Dayak, khususnya Bidayuh, dalam pelbagai aspek pembangunan, infrastruktur dan pelbagai jenis peluang sama ada pendidikan, pekerjaan mahupun perniagaan.

Beliau yang juga bekas Ketua Jabatan Bahasa Institut Pendidikan Guru Batu Lintang itu, sekitar 40 peratus masyarakat di sini tidak mendapat bekalan air terawat, 15 peratus masih belum menikmati kemudahan elektrik dan 20 peratus masih belum mempunyai jalan berturap serta ketiadaan jalan kebun untuk mengusahakan tanah secara komersil.

“Sudah 15 tahun rakyat tunggu janji naik taraf Jalan Padawan Lama dari pekan Tapah ke Kampung Anah Rais, sudah tiga kali projek RM60 juta ini diumumkan serta diadakan upacara pecah tanah, tapi sehingga kini belum bermula.

“Begitu juga dengan janji wakil rakyat BN kawasan ini untuk membina jalan Kpg Sapit – Kakas – Kiding di Hulu Padawan yang tidak pernah ditunaikan,” katanya kepada Roketkini.

Selain itu, beliau berkata, satu lagi masalah besar yang gagal diselesaikan BN sejak 50 tahun lalu ialah mengenai Tanah Hak Adat (NCR), terutama dalam keadaan di mana penduduk tidak mendapat surat milik tanah serta tiada tarikh penyelesaian pengukuran perimeter untuk tanah-tanah tersebut.

Tambah memburukkan keadaan, kegiatan ekonomi berbentuk pertanian bersepadu juga tidak dilaksanakan bagi membolehkan penduduk kampung menaikkan taraf ekonomi mereka, kata Sanjan.

“Peluang pekerjaan juga amat kurang di sini dan ia menyumbang kepada pengangguran di kalangan remaja lepasan sekolah dan universiti.

“Rakyat di sini juga ketinggalan menikmati perkhidmatan telekomunikasi kerana masalah capaian yang lemah malah masih banyak tempat yang langsung tiada capaian internet atau telefon,” katanya.

Beliau berkata, akibat sikap pilih kasih dan tidak menepati janji, rata-rata penduduk dan pengundi DUN Mambong sudah hilang kepercayaan kepada BN untuk mewakili mereka.

“Apabila kita sering memberi khidmat kepada rakyat di sini, saya melihat perubahan akan berlaku. Ini kerana rakyat Mambong sudah sedar dan melihat DAP adalah parti yang komited terhadap kebajikan rakyat, memiliki dasar yang konsisten, menentang rasuah dan kezaliman serta berjaya mengangkat isu masyarakat terpinggir. DAP telah buktikan,” ujar beliau.

Katanya lagi, akibat dasar berat sebelah BN yang hanya mementingkan sesebuah kaum sahaja dengan mengabaikan kaum lain khususnya masyarakat Dayak, beliau sendiri membuat keputusan untuk bersama DAP.

“Saya berjuang bersama DAP untuk membetulkan keadaan ini kerana DAP menitikberatkan prinsip keadilan sosial dan dasar perjuangannya menguntungkan semua pihak,” ujar Sanjan.

DUN Mambong adalah nama baru kawasan pilihanraya negeri Sarawak yang menggantikan nama DUN Bengoh.

Dalam pilihanraya negeri Sarawak lalu, DUN Bengoh menyaksikan perlawanan empat penjuru dengan calon BN-SUPP, Dr Jerip Anak Susil menewaskan  calon dari PKR, bebas dan parti SNAP dengan majoriti 3,899 undi. – Roketkini.com