Rencana

Konspirasi memangsakan Lim Guan Eng

Ada beberapa set isu dalam naratif cerita pembelian rumah Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan hubungannya dengan penjualan tanah Taman Manggis oleh kerajaan negeri yang dipimpin olehnya.

Pertama adalah soal jual beli rumah pada harga yang didakwa tidak setara dengan harga pasaran, sama ada diskaun yang didakwa adalah dibolehkan, dan sama ada diskaun itu mempunyai tujuan tertentu yang boleh ditafsirkan sebagai korupsi.

Kedua adalah soal dakwaan hubungkait pemunya asal rumah Lim Guan Eng dengan urusniaga jual beli tanah Taman Manggis antara kerajaan negeri Pulau Pinang dengan pihak yang berjaya membeli tanah tersebut, KLIDC.

Ketiga adalah soal sama ada tanah Taman Manggis telah diubah status dan fungsinya sehingga mengorbankan nasib keluarga-keluarga yang sepatutnya mendapat kediaman bantuan kerajaan di atas tanah yang kononnya diperuntukkan untuk projek perumahan rakyat.

Tiada paksaan, tidak sama kes Khir Toyo

Bagi menjawab soalan pertama, kita telah dipersembahkan dengan kenyataan bersumpah Phang Li Koon yang menyatakan dengan jelas bahawa rumah yang dimilikinya telah disewakan kepada keluarga Lim Guan Eng sepanjang tujuh tahun lalu sejak beliau menjadi Ketua Menteri pada kadar RM5,000 sebulan.

Rumah tersebut kemudian dijualkan kepada Guan Eng dengan satu harga yang dipersetujui, tanpa paksaan dan tanpa sebarang janji balas. Berbeza dengan Dr Mohd Khir Toyo, di mana pihak yang menjual terpaksa memberi keterangan di kandang saksi bahawa beliau dipaksa untuk menjual hartanahnya pada harga yang jauh lebih murah.

Dan lagi, harga pasaran bukanlah harga yang harus dituruti. Malah Phang Li Koon boleh sahaja memberi rumah tersebut secara percuma kepada keluarga Ketua Menteri, dan masih tidak melanggar sebarang undang-undang kerana pindah milik boleh sahaja berlaku tanpa sebarang balasan kewangan pun.

Phang Li Khoon turut bersaksi bahawa beliau tidak mempunyai hubungkait dengan syarikat KLIDC yang memenangi tender jualan tanah Taman Manggis serta tidak mempunyai sebarang hubungan yang memberi faedah kepadanya hasil jualan rumah kepada Lim Guan Eng.

Laman web Invest Penang adalah sekadar laman direktori syarikat-syarikat yang terlibat dalam pelaburan di negeri Pulau Pinang. Sama seperti buku telefon. Ia tidak melambangkan mahupun membuktikan sebarang pertalian kepentingan antara pihak tersenarai dengan aparat kerajaan negeri.

Tiada kaitan jual rumah dengan Taman Manggis

Ini lantas menjawab persoalan kedua, tentang pertalian antara Phang Li Koon, Lim Guan Eng dan jual beli Taman Manggis. Tidak harus ada keraguan tentang penjualan tanah tersebut kerana ia telah dilakukan melalui sistem tender terbuka, dan dijual kepada pembida tertinggi. Seandainya wujud keraguan mengenai anasir rasuah dalam urusan jual beli tersebut, tanah Taman Manggis pastinya tidak dijual kepada pembida tertinggi yang membeli dengan harga yang paling mahal.

Sekiranya Lim Guan Eng telah menerima rasuah dalam bentuk diskaun pembelian rumahnya, Lim Guan Eng akan menjual tanah Taman Manggis secara rundingan terus, pada harga yang lebih rendah dengan pihak yang mempunyai hubungan langsung dengan pembelian rumahnya itu. Quid pro quo.

Serangan lanjut ke atas Guan Eng kemudiannya mensasarkan dakwaan bahawa tanah Taman Manggis sepatutnya digunakan untuk membangunkan projek perumahan rakyat, dan bukannya hospital dan hotel mewah. Kononnya kerajaan negeri terdahulu telah pun menggazetkan tanah tersebut untuk dibina rumah kos rendah bagi rakyat miskin.

Tanah seluas 1.99 hektar itu didapati terlalu kecil untuk dibina perumahan rakyat, maka projek rumah kos rendah dan mampu milik telah dicadangkan di sebuah kawasan yang jauh lebih luas di Jalan SP Chelliah.

BN sendiri tolak cadangan perumahan rakyat di Taman Manggis

Apa yang menarik ialah kerajaan negeri BN rupa-rupanya tidak pernah pun menggazetkan tanah Taman Manggis untuk pembinaan rumah PPR, malah mencadangkan supaya kawasan tersebut digunakan untuk membina rumah kedai dan kuarters kerajaan, atau apa yang disebut sebagai pembangunan bercampur.

Menurut dokumen-dokumen kerajaan BN dahulu yang baru didedahkan, BN malah turut pernah mahu menjual tanah tersebut kepada pemaju swasta, dengan alasan supaya kerajaan negeri dapat menjimatkan kos.

Anekdot-anekdot dan bunyi-bunyi bising lain yang timbul daripada tiga persoalan pokok ini, termasuklah dakwaan Guan Eng tidak tahu harga pasaran kerana dia bukan penilai hartanah, jenaka jual rumah kerana feng shui buruk dan sebagainya bukanlah perkara fundamental dan selayaknya dijadikan bahan jenaka petang-petang hari.

Yang fundamental dalam konspirasi mengheret nama baik Setiausaha Agung DAP itu dengan fitnah rasuah dan salahguna kuasa ialah tiga persoalan itu sahaja; dan ketiga-tiga soalan itu saling berkait pun sekadar dengan pautan senipis kulit bawang.

Siasatan pantas oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas Guan Eng dan pihak-pihak terlibat, tidak lain adalah sebahagian daripada kempen tersusun untuk menutup persoalan-persoalan lebih besar melibatkan skandal aliran tunai ke akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang hari ini khabarnya telah mencecah angka RM4.2 bilion. – Roketkini.com