Berita

GST punca kadar inflasi meningkat, DAP saran mansuhkannya untuk ringan beban rakyat

KUALA LUMPUR, 30 MAC: DAP mengulangi desakannya menuntut supaya kerajaan UMNO-Barisan Nasional menghapuskan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) ekoran peningkatan inflasi sebanyak 4.2 peratus seperti yang dimaklumkan Jabatan Perangkaan Malaysia.

Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan, Lim Lip Eng, berkata hasil pelaksanaan cukai yang membebankan itu telah mengakibatkan harga barangan keperluan yang dikenakan GST meningkat, sekali gus memberi kesan langsung kepada kadar peratusan inflasi di negara ini.

Sehubungan itu, katanya, dakwaan UMNO-BN bahawa cukai yang mula diperkenalkan pada April tahun lalu itu kononnya tidak membebankan dan membantu rakyat, terbukti salah kerana kini rakyat sudah mula merasai kesan bebanan kos sara hidup yang tinggi.

“Tiada siapa boleh nafikan bahawa GST merupakan punca utama kepada kenaikan harga barangan.

“Pelaksanaan GST membebankan rakyat tidak mengira bangsa dan status kekayaan, ia juga tidak memanfaatkan negara kerana sebahagian besar kutipan cukai berkenaan digunakan untuk hal-hal yang tidak melibatkan kepentingan rakyat,” katanya kepada Roketkini.com.

Jumaat lalu, Jabatan Perangkaan Malaysia memaklumkan bahawa Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia pada Februari meningkat kepada paras tertinggi untuk tujuh tahun dan naik sebanyak 4.2 peratus kepada 114.5 berbanding 109.9 pada bulan sama tahun lalu.

Agensi kerajaan terbabit memberikan sebab antaranya kos lebih tinggi bagi barangan makanan dan penggunaan sebagai faktor kepada peningkatan IHP dan seterusnya inflasi. Antara kesan inflasi kepada pengguna adalah peningkatan kos sara hidup dan pengurangan taraf hidup mereka.

Lip Eng yang juga Ahli Parlimen Segambut turut menegaskan bahawa dasar membebankan, terutamanya GST akan dihapuskan serta merta jika parti pembangkang berjaya menawan Putrajaya dan membentuk Kerajaan Persekutuan.

Langkah itu, menurutnya, adalah untuk memastikan bahawa rakyat tidak berterusan dibebani dengan pelbagai peningkatan kos yang membebankan dan memeritkan di tengah-tengah situasi ekonomi global yang kian merudum.- Roketkini.com