Berita

Peguam tidak buat apa-apa kesalahan, hanya suarakan hak, laksana tugas

NILAI, 30 MAC: Tindakan kerajaan UMNO-BN menggunakan undang-undang bagi menakut-nakutkan dan menutup mulut rakyat adalah satu tindakan berbaur ugutan, menyalahgunakan kuasa dan melampaui batas.

Naib Pengerusi Sosialis Muda DAP (DAPSY) Kebangsaan, J. Arul Kumar, berkata pihak berkuasa tidak patut menggunakan Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 untuk menyiasat tiga peguam yang mengemukakan usul dalam mesyuarat agung tahunan (AGM) Badan Peguam Malaysia agar Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali disingkir dari jawatannya, kerana mereka hanya melaksanakan hak.

Katanya, tiga peguam tersebut – Francis Pereira, R. Shanmugam dan Charles Hector – mahu Apandi meletak jawatan kerana beliau enggan meneruskan dakwaan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sebelum ini walaupun pelbagai skandal melibatkannya telah didedah.

Menurutnya, apa yang dilakukan tiga peguam tersebut langsung tidak menunjukkan ciri-ciri menghasut, malah mereka cuma menjalankan tugas dengan melakukan apa yang difikirkan wajar.

“Seksyen 4(1) hanya untuk mereka yang cuba berkomplot, melakukan perbuatan menghasut atau menyebut perkataan menghasut. Namun, apa yang dilakukan tiga peguam itu langsung tidak ada ciri-ciri itu.

“Mereka hanyalah peguam yang menggunakan hak mereka untuk mengkritik atau membuat usul dalam mesyuarat jika wujud rasa tidak puas hati dengan tindakan Peguam Negara. Mereka hanya menjalankan tugas.

“Mereka ada kebebasan untuk bersuara. Saya tidak fikir itu satu kesalahan,” katanya kepada Roketkini.

Menurut Arul yang juga Adun Nilai, sikap Apandi yang seolah-olah berat sebelah dengan tidak meneruskan dakwaan terhadap Najib adalah bertentangan dengan tugas Peguam Negara untuk menegakkan keadilan, justeru ia pasti mengundang kebimbangan peguam yang lain.

“Apandi sepatutnya bersikap adil. Apabila beliau tidak mendakwa Najib walaupun ada skandalnya didedahkan, ia menunjukkan sikap yang tidak adil.

“Tindakan Apandi itu menjejaskan integriti perundangan, lebih-lebih lagi apabila keputusannya itu menjadi kontroversi termasuk di peringkat antarabangsa. Jadi tentulah peguam yang lain bimbang akan hal itu dan mendesaknya agar meletak jawatan,” katanya. – Roketkini.com