Berita

DAP lancar video kempen PRN Sarawak, gesa mansuh GST

KUALA LUMPUR, 31 MAC: Sempena pilihanraya negeri Sarawak, DAP hari ini melancarkan video bertajuk “Tolak GST, Tolak BN” bagi menggesa kerajaan memansuhkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang membebankan seluruh rakyat, khususnya di Sarawak.

Video hampir sembilan minit itu memaparkan penderitaan dan beban hidup terpaksa dihadapi rakyat Sarawak sejak pelaksanaan cukai berkenaan sejak 1 April tahun lalu, malah, membuktikan kedegilan kerajaan dengan keputusan mengekalkan cukai itu walaupun ditentang pelbagai pihak.

Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen, berkata video itu bertujuan untuk meningkatkan kesedaran rakyat Sarawak bahawa pelaksanaan cukai GST disokong sepenuhnya oleh BN Sarawak walaupun ahli parti itu enggan dikaitkan dengan dasar kerajaan Persekutuan.

“Kesemua 23 ahli parlimen BN Sarawak menyokong Akta GST semasa ia dibentangkan di Parlimen pada 2013. Akta itu diluluskan dengan undian 118 berbalas 81.

“Jika kesemua 23 ahli itu menentang usul berkenaan, Akta GST tentu tidak diluluskan. Ini bermakna BN Sarawak tidak boleh melepaskan diri dengan mengatakan isu GST tersebut adalah isu kerajaan Persekutuan.

“Jika ahli BN Sarawak benar-benar menentang GST, mengapa mereka menyokong Akta GST di Parlimen?” katanya kepada wartawan di sidang media pelancaran video kempen DAP untuk PRN Sarawak di ibu pejabat parti di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Chieng Jen yang juga Ahli Parlimen Bandar Kuching menyeru rakyat Sarawak untuk bersama-sama menolak BN dalam pilihanraya negeri akan datang bagi menunjukkan protes mereka terhadap GST yang dikhuatiri meningkat kadar peratusannya selepas ini.

“Kami menyeru rakyat Sarawak agar memberi mesej jelas kepada BN Sarawak dan kerajaan Persekutuan pimpinan Najib bahawa GST perlu dimansuhkan atau sekurang-kurangnya, tidak akan dinaikkan lagi.

“Kami khuatir jika BN menang besar dalam pilihanraya negeri yang bakal tiba ini, mereka mungkin berani mengambil langkah menaikkan kadar GST dari 6 peratus kepada 10 peratus akibat masalah ekonomi yang semakin teruk melanda negara,” katanya.

Video “Tolak GST, Tolak BN” tersebut boleh dilayari di https://youtu.be/UfSI74IqW3k.

Pada masa sama, video muzik terbaru DAP bertajuk “Tak Nak BN” yang turut dilancarkan hari ini boleh dilayari di https://youtu.be/7pZ6ZUoRFzs.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Tony Pua; Pengarah Pendidikan Politik DAP Kebangsaan, Liew Chin Tong; Pengarah Pendidikan Politik DAP Sarawak, Oscar Ling Chai Yew; Bendahari DAP Sarawak, Andrew Wong Ling Biu dan Ahli Parlimen Stampin, Julian Tan Kok Ping. – Roketkini.com