Berita

Laporan WSJ: Guna dana awam untuk berbelanja mewah, DAP minta penjelasan Najib

KUALA LUMPUR, 1 APRIL: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diminta untuk menjelaskan sama ada beliau dan keluarga menyalahguna dana awam jutaan ringgit untuk berbelanja barangan mewah seperti dilaporkan Wall Street Journal (WSJ) dua hari lalu.

Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng, berkata jika Najib gagal memberi respon berhubung perkara itu dalam masa 24 jam, beliau akan membuat laporan kepada pihak polis dan mendesak siasatan jenayah dilakukan ke atas Presiden UMNO itu.

“Najib kini cuma ada dua pilihan, sama ada menafikan laporan WSJ itu dan mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar tersebut atau mengaku bahawa beliau dan keluarga berbelanja sakan dan menerangkan bagaimana beliau dapat wang sebanyak itu.

“Sebelum ini pada Julai tahun lalu, Najib mengatakan bahawa beliau tidak menggunakan sebarang dana awam untuk kepentingan peribadi, tetapi laporan WSJ nampaknya 100% bertentangan dengan kenyataan beliau,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan akhbar WSJ baru-baru ini yang mendedahkan bahawa Najib menghabiskan AS$15 juta bagi percutian, membeli-belah dan barangan kemas. Perbelanjaan itu dilakukan di Amerika Syarikat (AS), Itali, Malaysia dan beberapa tempat lagi.

Akhbar itu turut melaporkan bahawa dokumen siasatan pihak berkuasa Malaysia menunjukkan kad kredit Najib digunakan bagi membayar pembelian bernilai AS$130,625 di butik mewah Chanel di Honolulu, Hawaii.

Ia berlaku dua hari sebelum beliau bermain golf dengan Presiden Barrack Obama pada 2014.

Menurut Lip Eng, perbelanjaan melampau Najib yang didedah WSJ ini mencemar reputasi dan kehormatan negara, lebih-lebih lagi apabila ia didakwa menggunakan dana dari syarikat kerajaan, SRC International yang dipengerusikan oleh beliau sendiri.

“Menyedihkan apabila wang bernilai jutaan ringgit daripada dana awam digunakan untuk kepentingan peribadi – membeli belah, bercuti dan barangan kemas.

“Lebih-lebih lagi, kini media melaporkan pihak Amerika Syarikat sedang menjalankan siasatan ke atas dana berkaitan dengan 1MDB. Skandal 1MDB juga sedang disiasat pihak berkuasa Switzerland, United Kingdom, Luxembourg, Singapura dan Hong Kong.

“Sangat memalukan apabila rakyat Malaysia terpaksa menanggung seorang Perdana Menteri yang dipalit skandal rasuah antarabangsa,” katanya. – Roketkini.com