Berita

Rakyat diseru sokong mansuh GST, desak Najib undur

KUALA LUMPUR, 2 APRIL: Pakatan Harapan menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama menuntut pemansuhan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) serta peletakan jawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Satu daripada pelbagai usaha tersebut adalah dengan menyertai himpunan Undur Najib Mansuh GST yang akan berlangsung di sini, petang ini.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, berkata penyertaan rakyat dari pelbagai lapisan masyarakat dalam himpunan itu akan membuka mata kerajaan pimpinan Najib bahawa rakyat tekad mahukan perubahan dalam dasar dan pentadbiran negara.

“Ada banyak sebab mengapa kita mahu Najib undur dari jawatannya. Salah satu sebabnya ialah pelaksanaan GST yang seperti kita dapat lihat, sangat membebankan rakyat.

“Lebih-lebih lagi, ia dilaksanakan dalam keadaan ekonomi tidak stabil dengan masalah pendapatan negara dan kos kehidupan rakyat yang semakin tinggi,” katanya semasa memberi ceramah sempena himpunan Undur Najib Mansuh GST di Dewan Cina malam tadi.

Menurutnya, selain masalah berkaitan ekonomi yang menghimpit kehidupan rakyat, Najib juga wajib meletakkan jawatan selepas pelbagai skandal rasuah melibatkan dirinya didedah satu-persatu oleh media antarabangsa.

“Memalukan apabila media antarabangsa kini menyenarai skandal rasuah Najib dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai antara skandal rasuah paling teruk di dunia.

“Malaysia yang sepatutnya mendukung nilai demokrasi juga kini digelar sebagai “state of fear” (negara dalam ketakutan) kerana semakin banyak salah guna kuasa dan undang-undang oleh kerajaan untuk menutup mulut rakyat,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha DAP Kebangsaan, Anthony Loke, berkata kerajaan UMNO-BN sudah terlalu kerap membohongi rakyat dengan janji-janji yang kini terbukti palsu, terutama dalam isu GST.

“Genap setahun lepas semasa GST baru dilaksanakan, menteri-menteri BN kata GST itu penyelamat negara. Kononnya tanpa GST, negara akan bangkrap.

“Tapi kini kita dapat lihat bahawa GST cumalah penyelamat kepada Barisan Nasional. Saat rakyat biasa merasakan kesempitan hidup yang melampau akibat GST, pemimpin BN seronok berbelanja mewah di luar negara.

“Bagaimana Najib mahu sedar bahawa GST ini membebankan rakyat? WSJ mendedahkan Najib berbelanja hampir AS$1 bilion guna dana awam. Malah, pada Ogos 2014, beliau berbelanja 750,000 euro dalam satu transaksi di Itali.

“Kita sebagai rakyat mesti beritahu Najib bahawa kita hidup susah kerana GST semasa beliau sedang bermewah-mewah dengan turun ke himpunan ini,” katanya.

Veteran DAP Selangor, Ronnie Liu yang turut berucap di ceramah itu pula berkata, rakyat harus terus mendesak Najib meletakkan jawatan kerana jika beliau terus berada di tampuk pemerintahan, rakyat akan semakin menderita.

“Jika Najib terus jadi Perdana Menteri, mahasiswa akan terus tidak cukup makan, rakyat akan terus terbeban dengan kos sara hidup tinggi, malah memalukan negara kerana terus menyimpan PM yang didakwa dengan skandal rasuah global.

“Kerajaan tetap juga laksanakan GST walaupun di saat ekonomi negara masih tidak stabil dan pendapatan rakyat masih kurang. Malah, cara pelaksanaan cukai itu juga salah dan membebankan.

“Oleh itu, Pakatan Harapan menyeru semua rakyat Malaysia untuk turun esok (hari ini) bagi menyuarakan bantahan kita terhadap GST,” katanya.

Ceramah malam tadi sempena Himpunan Undur Najib Mansuh GST yang akan berlangsung hari ini itu dianjurkan oleh Pakatan Harapan bagi menyuarakan desakan agar Najib meletakkan jawatan dan GST dimansuhkan serta-merta.

Antara pemimpin yang hadir ialah Presiden Parti Amanah, Mohammad Sabu; Timbalan Presiden Parti Amanah, Salahuddin Ayub; Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli serta Pengarah Komunikasi Parti Amanah, Khalid Samad. – Roketkini.com