Berita

Ugutan kumpulan ‘Baju Merah’, DAP mahu polis ambil tindakan segera

KUALA LUMPUR, 1 APRIL: DAP mengutuk dan menolak sekeras-kerasnya sebarang penggunaan sentimen perkauman dan agama untuk menimbulkan kebencian di kalangan masyarakat.

Justeru, ucapan berbaur ugutan dan perkauman oleh kumpulan ‘Baju Merah’ diketuai oleh Mohd Ali Baharom atau Ali Tinju semalam, langsung tidak boleh diterima dan hanya menunjukkan kekeliruan mereka berhubung prinsip DAP yang tidak berasaskan perkauman atau agama.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata tindakan kumpulan itu jelas menunjukkan budaya UMNO dengan mendiskriminasi individu berdasarkan kaum apabila mereka enggan menyerahkan memorandum kepada pemimpin muda DAP berketurunan Melayu, Edry Faizal Eddy Yusof.

“Jika mereka mahu mendiskriminasi sesiapa berdasarkan kaum, mereka telah tersilap tempat. Sepatutnya, mereka ke ibu pejabat MCA jika mahu orang Cina yang menerima memorandum mereka.

“Tidak seperti UMNO, MCA dan MIC, DAP ialah sebuah parti untuk semua kaum dan ahli Melayu boleh menjadi ketua sama seperti ahli bukan Melayu,” katanya.

Guan Eng berkata demikian ketika mengulas tindakan kira-kira 30 ahli kumpulan ‘Baju Merah’ menyerbu ibu pejabat DAP semalam untuk menyerahkan memorandum untuk mendesak beliau bercuti berhubung isu pembelian rumah yang telah diputarbelit media.

Namun, mereka enggan menyerahkan memorandum tersebut kepada ahli DAP berkaum Melayu dan membuat kenyataan provokasi berbaur ugutan seperti “Jangan sampai kita naik! Jangan kasi ‘asap’ ini bangunan”. Insiden semalam itu telah dilaporkan sendiri oleh pihak polis.

Menyifatkan tindakan kumpulan itu sebagai menyedihkan, Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berharap pihak polis tidak akan memandang ringan kes berkenaan serta mengambil tindakan segera berikutan terdapat bukti video di tempat kejadian.

“Kami berharap polis akan bertindak segera. Ada lebih kurang 20 polis di tempat kejadian semalam dan terdapat juga video sebagai bukti insiden itu.

“Kegagalan polis berbuat demikian akan menunjukkan bahawa ahli dan penyokong UMNO boleh bertindak sesuka hati tanpa menghormati undang-undang walaupun menyentuh sentimen perkauman dan berbaur ugutan.

“Adakah polis akan bertindak dengan kecepatan luar biasa dalam kes ini seperti tindakan mereka terhadap pemilik rumah saya, Phang Li Koon sebelum ini apabila beliau didakwa membuat akuan bersumpah palsu oleh ahli Pemuda UMNO?” Soalnya. – Roketkini.com