Berita

Ahli-ahli Parlimen berarak ke Bukit Aman serah memorandum tuntut bebaskan Rafizi

 

KUALA LUMPUR, 7 APRIL: Ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan hari ini berarak dari Parlimen ke Bukit Aman menghantar memorandum kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, menuntut pembebasan segera Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli yang ditangkap semalam.

Rafizi yang juga Naib Presiden PKR ditahan di bawah Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972. Menurut laporan media, penahanan itu dipercayai berkaitan dengan pendedahan dokumen yang melibatkan hubungan di antara Lembaga Tabung Angkatan Tentera dan 1MDB.

Perarakan para Ahli Parlimen yang bermula sekitar jam 9.05 pagi berselang seli dengan laungan ‘Daulat Parlimen’ dan ‘Undur IGP’ yang merujuk kepada jawatan Ketua Polis Negara dalam bahasa Inggeris, Inspector-General of Police.

Memorandum yang ditandatangani wakil-wakil parti kemudian dibawa ke pintu masuk Bukit Aman untuk diserahkan kepada seorang pegawai Unit Sumber Informasi dan Analisis Urus Setia KPN, DSP Rizal Abd Rahman.

Memorandum tersebut menyatakan rasa kecewa dan tidak puas hati Ahli-ahli Parlimen dengan cara polis menahan Rafizi seolah-olah beliau seorang penjenayah yang amat-amat dikehendaki dan menjadi ancaman kepada negara dan penahanan beliau tidak boleh ditunggu lagi.

Sedangkan, sebelum ini, Rafizi telah berkali-kali membuat hebahan sekiranya polis memerlukannya untuk memberikan kenyataan, beliau bersedia memberi kerjasama di mana-mana bali polis.

“Oleh itu, tindakan polis menahan YB Rafizi dengan cara begitu di kawasan Parlimen adalah satu pencabulan ke atas institusi Parlimen, institusi paling tinggi dalam sistem dan amalan politik yang sedang kita gunakan.

“Maka kami Ahli-Ahli Parlimen Malaysia dengan ini mendesak agar YB Rafizi Ramli dibebaskan dengan segera dan Tan Sri Ketua Polis Negara hendaklah memaklumkan kepada YB Tan Sri Yang Dipertua Dewan Rakyat jika ada apa-apa urusan berhubung dengan Ahli-ahli Parlimen semasa Dewan bersidang,” desak memorandum tersebut.

Setelah selesai menyerahkan memorandum, perhimpunan bersurai dan satu sidang media diadakan di Parlimen berhubung tuntutan memorandum tersebut.

Selain Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Harapan, turut serta dalam perarakan ialah Ahli-Ahli Undangan Negeri (ADUN) Pakatan dan beberapa NGO. – Roketkini.com