Berita

Kerajaan BN mansuh biasiswa JPA tahun depan konon mahu jimat wang, pelajar pintar jadi mangsa

KUALA LUMPUR, 6 APRIL: DAP mengecam keras keputusan Kerajaan Persekutuan memansuhkan program biasiswa Lepasan Bursari kendalian Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bermula tahun hadapan.

Program itu sebelum ini menaja kira-kira 300 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) paling cemerlang bagi melanjutkan pelajaran di universiti dalam dan luar negara.

Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Teresa Kok, berkata tindakan kerajaan itu dangkal serta tidak wajar, lebih-lebih lagi apabila tahun ini, kerajaan tidak lagi menawarkan tajaan ke luar negara untuk program Lepasan Bursari itu, kononnya untuk menjimatkan kos.

“Adakah kerajaan benar-benar miskin sekarang sehingga ia tidak dapat meneruskan tawaran biasiswa tersebut kepada 300 pelajar pintar negara, sedangkan tawaran itu kini dihadkan untuk belajar di universiti tempatan?”

“Dengan memansuhkan program Lepasan Bursari, ia bermakna ramai pelajar pintar dinafikan bantuan kerajaan untuk belajar ke tahap pendidikan lebih tinggi. Mengapa kerajaan mensasarkan masa depan mereka sebagai mangsa?” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pengumuman pegawai kanan JPA di taklimat bersama media semalam, bahawa program Lepasan Bursari akan hanya dilaksanakan oleh JPA untuk tahun ini sahaja, dan tidak akan diteruskan mulai 2017.

Menurut Teresa yang juga Ahli Parlimen Seputeh, jika kerajaan boleh meneruskan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), tidak ada sebab mengapa kerajaan tidak boleh meneruskan program biasiswa tersebut.

“Semasa Perdana Menteri mengumumkan penggantungan satu tahun PLKN di pembentangan Bajet 2015, beliau berkata langkah itu akan menjimatkan kos kerajaan sebanyak RM400 juta setahun.

“Jadi, mengapa kerajaan tidak menghapuskan program ini dan menggunakan peruntukan tersebut untuk meneruskan biasiswa JPA, terutama program Lepasan Bursari?

“Kerajaan sepatutnya mengutamakan program yang lebih penting. Pelajar pintar adalah aset utama negara dan mereka tidak harus menjadi sasaran kepada pemotongan peruntukan oleh kerajaan,” katanya. – Roketkini.com