Berita

“Datuk Seri, kalau setakat cakap saya tak percaya…” kata Tok Batin kepada Menteri Besar Pahang

BERA, 11 APRIL: Demi mempertahankan tanah adat mereka di Pahang daripada terus diceroboh, penduduk Orang Asal kaum Semelai di Kampung Lubuk Perah di sini bergilir-gilir menjaga sempadan tanah wilayah adat mereka 24 jam sehari sejak 37 hari lalu.

Mereka terpaksa berbuat demikian bagi mengelakkan tanah wilayah adat mereka dimasuki mesin jentolak pemaju, Sri Jengka Sdn. Bhd. yang sebelum ini dikatakan telah memusnahkan kawasan untuk penanaman sawit.

Tinjauan Roketkini.com bersama Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Pahang, Tengku Zulpuri Shah, baru-baru ini mendapati penduduk mendirikan hadangan dari kayu dan membina pondok-pondok berteduh sementara, termasuk sebuah balai adat. Hadangan itu dibina berhadapan sebuah jambatan balak merentangi hulu sungai Bera.

Ini bukanlah hadangan pertama yang didirikan kerana pada 8 Mac lalu, pihak pemaju telah meruntuhkan hadangan yang dibina penduduk. Pada 28 Mac lalu, jentera pemaju tersebut sekali lagi cuba menceroboh sempadan itu namun tidak berjaya.

bera2

Tengku Zul(kiri) dan Tok Batin Hajemi Din (tengah).

“Kita amat terkilan dengan perkara ini sedangkan kita manusia, punya undang-undang dan adat pantang larang, sepatutnya pihak seperti polis dan lain-lain lebih arif dalam perkara berkaitan undang-undang tetapi mereka seolah-olah tidak faham,” kata Tok Batin Lubuk Perah, Hajemi bin Din.

Menurut Tengku Zulpuri yang juga Naib Pengerusi DAP Pahang pula, isu pencerobohan tanah dan wilayah adat kaum Semelai Kampung Lubuk Perah ini perlu diberi perhatian segera oleh kerajaan memandangkan isu ini telah banyak kali diketengahkan termasuk di dalam Dewan Undangan Negeri.

“Sampai bila penduduk Lubuk Perah harus begini? Kerajaan khususnya Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Pejabat Tanah dan agensi lain sepatutnya mainkan peranan bantu mempertahankan hak penduduk kampung, bukan mendiamkan diri atau lebih malang sekiranya mereka pula menyebelahi pihak pemaju,” katanya.

Walaupun satu pertemuan penyerahan memorandum dan sesi dialog dengan kerajaan negeri Pahang telah diadakan pada 23 November 2015 di antara 16 wakil penduduk Kampung Lubuk Perah dan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, sehingga kini, tiada sebarang maklumbalas positif diterima dari pihak kerajaan negeri.

Malah Batin Hajemi berkata, Menteri Besar Pahang pernah berjanji dalam satu perbualan telefon yang dirakam untuk memulangkan semula tanah Kampung Lubuk Perah kepada penduduk.

“Datuk Seri (Adnan) pernah telefon saya, dia berjanji mengatakan tanah Lubuk Perah yang terlibat akan dipulang balik. Ini janji dalam telefon.

“Saya kata; ‘Datuk Seri kalau setakat cakap saya tak percaya’, lepas tu mula dia meradang sedikit,” ujar Batin Hajemi yang mahu supaya kerajaan mengeluarkan dokumen hitam putih dalam menyelesaikan isu tanah mereka.

Isu pencerobohan pemaju ke atas tanah adat kaum Semelai Kampung Lubuk Perah berlaku sejak tahun 2013 selepas BN memenangi pilihanraya umum ke-13.

Menurut Hajemi, ini sudah kali keempat pihak pemaju menceroboh kawasan mereka dengan alasan untuk mengambil balak dan mendakwa telah mendapat kelulusan geran dari Pejabat Daerah sebanyak 903 ekar.

Penempatan sementara yang didirikan  penduduk untuk menjaga kawasan Tanah Adat

Penempatan sementara yang didirikan penduduk untuk menjaga kawasan Tanah Adat

“Banyak kebun-kebun penduduk telah dimusnahkan oleh pemaju tanpa apa-apa perbincangan dengan kami sedangkan kawasan Kampung Lubuk Perah ini adalah kawasan tanah dan wilayah adat kami.

“Sepatutnya, kami yang dapat geran komunal (komuniti) Tanah dan Wilayah Orang Asli, tetapi pihak pemaju pula yang dapat geran. Jadi kami kecewa dengan kerajaan. Dia kata nak selesaikan masalah tanah adat kami di sini tetapi akhirnya kita nampak, pihak pemaju yang selesai masalah. Bukannya kami,” jelasnya.

Kesal dengan sikap ‘pejam mata’ kerajaan negeri itu, Batin Hajemi mengulangi desakan komuniti orang asal Semelai menuntut supaya hak milik (geran) yang telah diluluskan kepada pemaju swasta melibatkan tanah dan wilayah adat Kampung Lubuk Perah dibatalkan.

“Balak dia dah lepas (ditebang), kemudian tanah ini akan dibuat penanaman kelapa sawit seluas 903 ekar yang sudah digeran.

“Undang-undang yang ada tidak diikuti, nampak kemas tapi longgar. Apabila dapat kuasa dan boleh mendapatkan wang, undang-undang tu bukan diketepikan tapi mungkin dalam poket dah,” katanya dalam nada kecewa.

Penduduk juga telah menghantar surat tuntutan peguam kepada syarikat Sri Jengka Sdn Bhd bertarikh 5 September 2013 yang antara lain mahu tindakan guaman dikenakan ke atas syarikat tersebut sekiranya mengabaikan tuntutan penduduk Kampung Lubuk Perah supaya tidak menceroboh tanah mereka. – Roketkini.com