Berita

Isu Taman Manggis: Guan Eng sedia debat Rahman 16 April, minta Menteri itu jangan lari

KUALA LUMPUR, 11 APRIL: Menteri UMNO, Datuk Abdul Rahman Dahlan tidak patut lari daripada debat mengenai isu tanah di Taman Manggis dengan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng memandangkan pelbagai pihak termasuk RTM dan TV3 bersedia menyiarkan sesi itu secara langsung.

Menurut Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, beliau terperanjat apabila Rahman yang sebelum ini seperti tidak sabar mahu berdebat dengannya berhubung isu itu, menyatakan bahawa beliau akan berangkat ke luar negara dan hanya akan pulang pada 15 April depan.

“Rahman telah mencabar saya berdebat pada hari Rabu lalu. Saya menyahut cabaran beliau itu pada hari Khamis, kemudian pada hari Jumaat beliau dengan begitu teruja mengatakan beliau tidak sabar-sabar lagi.

“Tiba-tiba, beliau memberitahu akan berangkat ke luar negara dan hanya akan pulang pada 15 April. Ini menimbulkan rasa curiga, seolah-olah beliau cuba melepaskan diri daripada debat yang dicadangkan oleh beliau sendiri,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sehubungan itu, Guan Eng mencabar Rahman untuk meneruskan debat berkenaan isu tanah Taman Manggis itu dengannya selepas Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN) itu pulang dari luar negara pada 15 April.

“Saya beri tempoh seminggu sehingga malam 16 April untuk menguji keikhlasan dan komitmennya untuk meneruskan debat tersebut.

“Memandangkan beliau akan pulang pada 15 haribulan, tidak ada sebab untuk beliau cuba melepaskan diri dan tidak berdebat dengan saya pada malam 16 April,” katanya yang juga Ahli Parlimen Bagan.

Guan Eng berkata, walaupun beliau menghormati pendapat beberapa pihak yang berharap sesi debat itu dibatalkan, beliau yakin debat itu wajar diteruskan dalam semangat demokrasi yang sihat dan atas kepentingan mencari kebenaran berasaskan fakta.

Sebelum ini, Rahman yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan menuduh Guan Eng ada kaitan dengan penjualan tanah di Taman Manggis kepada pihak ketiga.

Beliau turut mendakwa kononnya tanah itu telah dijual secara tidak langsung melalui pegangan saham syarikat.
Bagaimanapun, dakwaan itu dibidas Guan Eng apabila dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia tidak menunjukkan sebarang kewujudan pertukaran saham kepada pihak ketiga. – Roketkini.com