Berita

Skandal 1MDB: PAC tak pernah kata Najib tak bersalah, wakil PAC gesa Pengerusi tarik balik kenyataan

KUALA LUMPUR, 13 APRIL: Wakil-wakil pembangkang yang menganggotai Jawatankuasa Kira-Kira Awam (PAC) Parlimen meminta Pengerusinya, Datuk Hasan Arifin, supaya jujur dan tidak menyalahgunakan kuasanya demi kepentingan politik Datuk Seri Najib Razak dan Barisan Nasional dalam isu 1MBD.

Desakan mereka disampaikan dalam satu kenyataan bersama oleh Ahli Parlimen Kepong, Dr Tan Seng Giaw, selaku Timbalan Pengerusi PAC, dan ahli-ahli jawatankuasa PAC, Datuk Kamarul Baharin Abas, William Leong, Datuk Takiyuddin Hassan, dan Tony Pua.

Sehubungan itu juga, mereka mahu Hasan menarik balik kenyataannya sebelum ini yang membela Perdana Menteri dan kerajaan BN kerana ia tidak berasas, menyelewengkan pendangan PAC serta bersifat bohong.

Menurut kenyataan mereka, PAC tidak pernah membuat keputusan bahawa  Najib tidak bersalah dalam isu 1MDB, seperti mana yang cuba digambarkan oleh Hasan.

Hasan telah dilaporkan agensi berita nasional Bernama sebagai berkata bahawa dalam kes 1MDB, tiada bukti untuk mencadangkan berlaku salah laku jenayah, dan tiada bukti salah guna kuasa Perdana Menteri, di mana keputusan itu dikatakan “dibuat sebulat suara dan konsensus oleh kesemua anggota PAC”.

Menafikan kenyataan Hasan, wakil-wakil pembangkang dalam PAC menjelaskan bahawa Laporan PAC langsung tidak menyebut “tiada bukti” tentang salah laku jenayah berkaitan penyalahgunaan dana.

Sebaliknya, Ketua Audit Negara dan PAC telah mendapati bahawa telah berlaku banyak perkara yang amat diragui dan mencurigakan dalam transaksi 1MDB termasuk bayaran berbilion-bilion ringgit kepada syarikat-syarikat asing yang tidak dapat dipastikan pemilikannya seperti Good Star Limited dan Aabar Investment PJS Limited.

Tambah kenyataan itu, oleh kerana pegawai 1MDB dan Kementerian Kewangan tidak memberi kerjasama untuk menyampaikan maklumat-maklumat penting itu, termasuk penyata bank 1MDB luar negara dan dokumen pemilik saham syarikat-syarikat di atas, Laporan PAC telah menyeru supaya pihak berkuasa, termasuk polis untuk menyiasat semula kes tersebut.

Pada masa yang sama, menurut kenyataan itu, PAC tidak dapat mengesahkan sama ada pembayaran dibuat daripada 1MDB ke akaun peribadi Perdana Menteri kerana dokumen-dokumen yang diperlukan seperti penyata bank tidak diserahkan kepada Ketua Audit Negara.

“PAC juga tidak pernah membuat sebarang keputusan bahawa Perdana Menteri tidak bersalah. Oleh itu kami menggesa supaya Datuk Hasan Arifin untuk mengemukakan bukti melalui Hansard bahawa keputusan ini “dibuat sebulat suara dan konsensus oleh kesemua anggota PAC”.

“Ahli-ahli PAC langsung tidak boleh membuat sebarang ketetapan mengenai perkara ini, tanpa kerjasama penuh daripada 1MDB dan Kementerian Kewangan.,” kata kenyataan itu.

Mereka menambah, apa yang sebenarnya diputuskan oleh PAC adalah mengesahkan bahawa dokumen-dokumen yang diperolehi oleh Ketua Audit Negara menunjukkan Najib telah meluluskan secara bertulis segala keputusan-keputusan penting yang dibuat oleh syarikat, termasuk:

(i)                pelaburan dengan Petrosaudi International,

(ii)              penerbitan bon sebanyak US$6.5 bilion,

(iii)            pembelian syarikat-syarikat penjanakuasa bebas; dan pemecatan juruaudit yang tidak setuju dengan pendirian 1MDB.

Wakil-wakil PAC daripada kalangan pembangkang itu kecewa kerana Laporan Ketua Audit Negara tidak dibentangkan kepada Parlimen bersama dengan Laporan PAC tentang 1MDB sebagaimana yang sepatutnya dilaksanakan.

“Kami merasakan tiada sebarang keperluan untuk menyembunyikan sebarang maklumat yang terkandung dalam Laporan Ketua Audit Negara di peringkat ini, malah kegagalan menerbitkannya bersama Laporan PAC akan menjejaskan kredibiliti PAC sebagai sebuah badan yang bebas yang bekerjasama erat dengan Jabatan Audit Negara (JAN).

“Oleh sebab itu, kami menyeru supaya Laporan Ketua Audit Negara akan turut dibentangkan dalam Parlimen bagi menunjukkan bahawa pihak PAC telah menjalankan tugasnya secara telus dan berintegriti,” kata kenyataan mereka. – Roketkini.com