Berita

Tun Mahathir antara panelis forum 1MDB di Shah Alam esok, sila hadir beramai-ramai

KUALA LUMPUR, 13 APRIL: Sangkaan pemimpin dan penyokong UMNO-BN bahawa nama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah dibersihkan selepas laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dibentangkan, meleset sama sekali.

Ia berikutan semakin banyak persoalan berkenaan 1MDB diutarakan oleh pelbagai pihak, lebih-lebih lagi apabila laporan PAC itu mendedahkan transaksi kewangan 1MDB yang mengelirukan dan kemungkinan berlakunya penyelewengan besar-besaran dalam syarikat itu.

Justeru, sebuah forum awam bertajuk “Laporan PAC 1MDB: Najib – Bersubahat atau tidak bersalah” akan diadakan bagi membincangkan sama ada Perdana Menteri bersubahat atau tidak dalam skandal mega berjumlah RM55 bilion tersebut.

Forum itu akan berlangsung esok (Khamis) pukul 8.30 malam dan bertempat di IDCC Shah Alam, Seksyen 15, Shah Alam. Ia terbuka kepada semua yang berminat dan masuk adalah percuma.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang kini lantang menuntut peletakan jawatan Najib turut menjadi salah seorang panelis pada forum tersebut. Beliau dijangka bakal mendedahkan hubungan Najib dengan skandal 1MDB, terutama apabila Najib merupakan Penasihat kepada syarikat berkenaan.

Panelis lain terdiri dari Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang; Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli; Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara, Khalid Samad; aktivis hak asasi manusia, Cynthia Gabriel dan Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Tony Pua.

Semua warga dari pelbagai fahaman politik dan ideologi dijemput hadir ke forum berkenaan. – Roketkini.com