Berita

DAP gesa Adenan tarik balik larangan terhadap pembangkang masuk ke Sarawak

KUALA LUMPUR, 14 APRIL: Setiausaha Agung DAP Kebangsaan, Lim Guan Eng, meminta Pemangku Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem, menarik balik sekatan masuk yang dikenakan terhadap beberapa pemimpin dan petugas DAP ke negeri itu.

Dalam satu surat rasmi kepada Adenan, beliau merujuk kepada sekatan terbaru terhadap Penolong Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Teo Nie Ching, dan ahli parti yang juga pencipta maskot Ubah, Ooi Leng Hang.

“Saya merujuk Seksyen 67 Akta Imigresen yang menyatakan bahawa: 67. Subseksyen 66 (1) hendaklah tidak berkuatkuasa dalam hubungan dengan seseorang warganegara yang memasuki Negeri Malaysia Timur hanya untuk menceburkan diri dalam aktiviti politik yang sah; tetapi beban membuktikan bahawa seseorang itu berhak memasuki Negeri Malaysia Timur di bawah seksyen ini terletak ke atasnya.

“Tujuan Teo Nie Ching dan Ooi Leng Hang untuk masuk ke Sarawak hanyalah untuk melibatkan diri secara sah di dalam aktiviti politik bersempena Pilihanraya Negeri Sarawak yang akan diadakan tidak lama lagi,” katanya dalam surat tersebut.

Menurutnya, Seksyen 66(1) tidak seharusnya memberi sebarang kesan terhadap mereka dan mereka harus dibenarkan untuk masuk ke Sarawak sebagai satu hak.

Sehubungan itu, Guan Eng berharap Adenan akan mengarahkan Pengarah Imigresen dengan serta merta bagi membolehkan mereka yang sebelum ini ditahan masuk dibenarkan untuk ke Sarawak.

Sabtu lalu, Leng Hang bersama Nie Ching telah dihalang masuk oleh pegawai imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.

Kelmarin, Adenan Satem mendakwa larangan itu dibuat kononnya untuk “melindungi negeri itu daripada elemen-elemen tidak baik”, malah, menyatakan bahawa pihak pembangkang boleh kembali ke negeri berkenaan selepas pilihanraya Sarawak ke-11 berakhir. -Roketkini.com