Berita

DAP mahu polis buka siasatan terhadap pegawai polis yang tangkap Rafizi sewaktu sidang Parlimen

KUALA LUMPUR, 14 APRIL: Pemangku Pengerusi DAP Kebangsaan,  Tan Kok Wai meminta polis membuka fail siasatan terhadap Ketua Polis Negara, Ketua Polis Kuala Lumpur dan semua pegawai polis yang terlibat dalam penangkapan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, pada 5 April lalu.

Menyifatkan tindakan polis itu sebagai menghina usul Parlimen yang telah diluluskan sebulat suara di Dewan Rakyat, Ahli Parlimen Cheras itu berkata Ahli-ahli Parlimen tidak boleh dihalang untuk menjalankan tugas mereka kepada rakyat.

Beliau merujuk kepada satu usul yang telah diluluskan di Parlimen bagi mengarah Ketua Polis Negara untuk memastikan tiada halangan keluar masuk Dewan Rakyat dikenakan terhadap setiap ahli Parlimen sepanjang hari persidangan.

“Jika polis ingin buktikan mereka adalah sebuah badan yang mempertahankan kebebasan hak asasi manusia, polis juga harus buka fail untuk siasat KPN dan juga Ketua Polis Kuala Lumpur, dan juga pegawai-pegawai kanan mereka yang menahan, menghentikan dan menangkap Rafizi di kawasan parlimen,” jelasnya dalam satu sidang media.

Sidang media itu diadakan selepas tiga Ahli Parlimen DAP, Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun; Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng; dan Ahli Parlimen Rasah, Teo Kok Seong, dipanggil untuk memberi keterangan di ibu pejabat Polis Daerah Sentul hari ini.

Menurut Kok Seong, tindakan polis memanggil ahli-ahli parlimen untuk memberi keterangan melibatkan penyerahan memorandum kepada KPN berhubung penahanan Rafizi sesuatu yang tidak boleh diterima.

“Saya nak tegaskan di sini bahawa ahli-ahli parlimen pembangkang cuma menyampaikan  memorandum kepada KPN menyeru supaya menghormati institusi Parlimen dan juga kedaulatan Parlimen.

“Jika kedaulatan Parlimen diceroboh, adalah tanggungjawab kami untuk menegur dengan menghantar memorandum dan kami tidak lakukan apa-apa yang langgar undang-undang tetapi nasib malang kami dipanggil untuk beri keterangan,” ujarnya.

Naib Pengerusi DAP Kebangsaan Teresa Kok yang turut hadir menyatakan bahawa tindakan Ahli-ahli Parlimen berjalan secara aman ke ibu pejabat Polis Bukit Aman menunjukkan memorandum itu adalah sesuatu yang serius.

“Kita dapati tindakan polis tidak betul dan kami beri sokongan kepada Rafizi kerana beliau menjalankan tugasnya sebagai seorang yang memberitahu maklumat mengenai kesalahan yang berlaku, tetapi beliau pula didakwa di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA),” kata beliau. – Roketkini.com