Berita

Sarawak: Penduduk rumah panjang di Simanggang kecewa janji BN

SRI AMAN, 15 APRIL: Penduduk rumah panjang Genting San di daerah Simanggang di sini terpaksa berhadapan jambatan roboh dan dihanyutkan sungai kerana jambatan gantung yang merentasi sungai ke rumah mereka terlalu uzur. Rayuan mereka tidak dipedulikan kerajaan Barisan Nasional.

Keadaan itu mengakibatkan penduduk, khususnya kanak-kanak, wanita dan golongan uzur terpaksa berjalan 30 minit untuk tiba di rumah mereka kerana kenderaan kecil pun seperti motosikal tidak boleh melalui jambatan tersebut.

“Dua tahun lalu, penduduk Genting San dijanjikan sebuah jambatan baru merentasi Sungai Undup oleh wakil rakyat BN di sini, dan jambatan sedia ada ini pun memang untuk sementara sebelum jambatan baru dibina, tapi janji jambatan baru itu belum dilaksanakan,” kata calon berpotensi DAP Simanggang, Leon Jimat Donald.

Menurut Naib Pengerusi DAP Sarawak itu, penduduk meluahkan kekecewaan dan kemarahan mereka kepada BN kerana, meskipun kawasan itu terletak hanya empat kilometer dari bandar Sri Aman, kerajaan juga tidak mampu menyediakan kemudahan elektrik kepada penduduk.

“Mereka berharap DAP Sarawak, khususnya DAP Sri Aman dapat mengetengahkan isu ini,” ujar beliau kepada Roketkini.

Beliau yang juga Pengerusi DAP Sri Aman itu berkata, ADUN BN di kawasan itu seolah-olah membutakan mata dan memekakkan telinga terhadap kesusahan yang telah bertahun-tahun dialami penduduk Genting San.

“Mereka sudah menunggu lama untuk sebuah jambatan yang selamat dan kemudahan elektrik. “Apa yang mengejutkan, penduduk juga mendakwa mereka tidak mendapat peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) dalam tempoh dua tahun ini.

“ADUN BN diberikan RM15 juta peruntukan MRP tetapi di mana wang itu? Bukankah ia untuk pembangunan kepada rumah-rumah panjang di Simanggang?” soalnya.

Justeru, Leon berharap, agar rakyat Sarawak khususnya pengundi di Simanggang dapat melakukan perubahan dalam pilihan raya negeri pada 7 Mei depan.

“DAP terbukti sebagai sebuah parti yang sangat komited membela nasib rakyat atau masyarakat yang terpinggir. Kita sudah buktikan di Pulau Pinang, Selangor dan melalui banyak projek Impian Sarawak yang dilaksanakan,” ujar beliau. – Roketkini.com