Wawancara

Paren Nyawi: Graduan UiTM bakal calon DAP Sarawak

Siapa sangka seorang pemuda Iban yang merantau membina kehidupan sebagai juruaudit di sebuah syarikat di Lembah Klang kini kembali ke pangkuan tanah tumpah darahnya di pekan kecil bernama Song di daerah Kapit, Sarawak.

Selain seorang Akauntan Bertauliah yang berdaftar dengan Institut Akauntan Malaysia (Malaysian Institute of Accountants – MIA), beliau juga dikenali sebagai penggerak budaya dan busana. Beliau  juga telah banyak mencipta nama melalui penganjuran festival busana dan kebudayaan dalam negara dan peringkat antarabangsa.

Paren Nyawi, 35, mula belajar di Sekolah Kebangsaan Cardinal Vaughan dan Sekolah Menengah Kebangsaan Song di antara 1988 dan 1998. Beliau kemudian bertandang ke Kolej Matrikulasi Labuan sebelum melanjutkan pengajiannya di Universiti Teknologi MARA (UiTM) di Shah Alam di mana beliau memperolehi Sarjana Muda Perakaunan (Kepujian) pada 2004.

Beliau yang aktif dalam aktiviti kemasyarakatan kini merupakan calon berpotensi DAP bagi Dewan Undangan Negeri N.62 Katibas dalam kawasan Parlimen Kapit. Pilihanraya negeri Sarawak yang akan diadakan 7 Mei ini bakal menyaksikan persaingan sengit dan ujian kepada DAP dengan meletakkan Paren sebagai calon sulungnya di kawasan itu.

paren

“Pada mulanya saya kurang minat politik. Dengan adanya media sosial, ia mendedahkan saya lagi kepada isu dan masalah yang berlaku dalam negara,” kata Paren dalam satu wawancara dengan Roketkini.com di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurutnya, DAP adalah wadah yang amat sesuai dan mesra golongan muda kerana ia memiliki barisan kepimpinan dan wakil rakyat muda yang ramai, seiring dengan pimpinan yang lebih lama dengan suasana yang lebih terbuka.

“Golongan muda diberi tempat dan peluang yang sangat baik dalam DAP, dan mempunyai ramai wakil rakyat orang muda berusia dari 20-an hingga 30-an,” tambah beliau.

Dengan pengalaman, latar belakang dan penampilan yang menarik, Paren mengakui sebelum ini, ada beberapa parti dari pemerintah dan pembangkang pernah mempelawanya untuk menyertai mereka. Namun, melihat kepada komitmen dan gerak kerja DAP yang komited dan bersungguh-sungguh mengangkat isu masyarakat terpinggir, ia membuatkan beliau tertarik untuk aktif bersama parti pelbagai kaum yang memperjuangkan Malaysia untuk rakyat Malaysia.

Ditanya tentang penerimaan masyarakat, Paren berkata, ramai yang ditemui sepanjang lawatannya ke rumah-rumah panjang dan kampung berasa terkejut apabila mendapat tahu beliau bakal bertanding dalam pilihanraya negeri.

“Bila saya ke kampung, orang terperanjat bila saya kata, saya bakal bertanding. Mereka terperanjat kerana di sini, ia bukan budaya yang biasa diamalkan dalam politik Sarawak.

“Kebanyakan orang yang bakal bertanding di sini biasanya mereka yang lebih berusia. Barisan Nasional (BN) lebih mementingkan senioriti. Kebanyakan bakal calon berpotensi mereka ramai yang berusia 50 tahun ke atas. Tetapi DAP lain, ia beri peluang kepada orang muda,” jelasnya.

Beliau optimis bahawa usia bukanlah penghalang seseorang itu untuk berkhidmat kepada masyarakat malah pengundi memiliki pilihan calon yang lain dari kebiasaan.

“Saya rasa, saat ini pengundi mahu sesuatu yang lain, yang baru sebab mereka lihat ada pilihan yang lebih baik dari DAP. Keputusan DAP meletakkan saya sebagai calon muda di Katibas telah memberi tekanan kepada BN untuk turut melakukan perkara yang sama.

“Bila mereka (BN) tahu DAP akan letakkan calon muda, mereka pun kata mahu letakkan calon yang lebih muda tetapi kita lihat tak muda juga,” ujar Paren sambil tersenyum.

Paren Nyawi2

 
Menyentuh tentang kesedaran politik rakyat di Katibas, beliau melihat masyarakat semakin terbuka dan mahu mendengar dari kedua-dua pihak sama ada dari parti pemerintah mahupun dari pembangkang.

“Di Katibas ada 153 rumah panjang dan lebih 90 peratus telah saya lawati. Jika sebelum ini masyarakat tak mahu mendengar dari pembangkang, sekarang mereka jauh lebih terbuka dan mahu dengar dari dua-dua pihak.

“Ini satu perkembangan yang baik. Mungkin anak-anak mereka banyak membantu beritahu mengenai perkembangan politik negara, apa yang berlaku. Saya rasa itu antara sebab mereka benarkan pembangkang masuk dan beri penerangan,” dedah beliau.

Menjawab pertanyaan mengenai masalah utama DUN Katibas, Paren berkata walaupun 75 peratus sistem perhubungan di sana menggunakan pengangkutan air, ia bukanlah menjadi isu peribadi yang digusarkan penduduk kerana sudah menjadi tradisi sejak turun temurun.

Masalah utama yang perlukan perhatian melibatkan pembahagian peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada rumah-rumah panjang, kemudahan asas, dan penghijrahan golongan muda ke bandar-bandar besar.

“Situasinya sekarang, walaupun orang muda boleh terima saya mewakili DAP, mereka tidak menetap di sana. Kerana di Katibas merupakan kawasan pedalaman dan ramai orang muda bekerja di luar Sarawak.

“Apa yang menjadi masalah ialah mereka tiada di sana dan ini menyebabkan keterlibatan mereka aktif bersama politik sedikit kurang,” ulas Paren.

Justeru, jika pengundi memilih beliau mewakili Katibas, katanya, isu dan masalah rakyat akan disuarakan dalam DUN menuntut supaya kemudahan asas diutamakan.

Begitu juga untuk untuk mewujudkan peluang ekonomi bagi menjana pendapatan kepada penduduk kampung kerana ia sangat untuk memastikan mereka, khususnya orang muda, tidak meninggalkan kampung halaman untuk mencari nafkah di luar.

Katanya, antara sektor yang boleh dibangunkan di Katibas ialah bidang eko-pelancongan, industri desa seperti kraftangan, makanan dan banyak lagi.

Dalam pilihanraya negeri yang lalu pada 2011, calon BN yang diwakili PBB, Datuk Ambrose Blikau, menang dengan majoriti 2,256 undi, menewaskan calon Parti Kebangsaan Sarawak Party (SNAP) dan PKR. Sebanyak 63.2 peratus daripada 8,542 pengundi berdaftar telah turun mengundi. – Roketkini.com