Berita

“Adenan, mengapa halang kami daripada mencintai Sarawak?” soal DAP

KUALA LUMPUR, 23 APRIL: Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming, mengkritik tindakan berat sebelah Pemangku Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem, yang hanya menghalang pemimpin parti pembangkang dari memasuki Sarawak tetapi membenarkan semua pemimpin Barisan Nasional masuk ke negeri itu.

“Adenan mengamalkan diskriminasi dan ‘double standard’ dengan menyekat kami (pemimpin pembangkang) dari berkempen untuk pilihanraya negeri akan datang, tetapi semua pemimpin Barisan Nasional dibenarkan masuk. Ia tidak adil,” katanya.

Kor Ming yang juga Ahli Parlimen Taiping itu membuat kenyataan berkenaan sejurus selepas ditahan daripada memasuki negeri tersebut tanpa apa-apa alasan kukuh semasa tiba di Lapangan Terbang Sibu tengah hari tadi.

Dalam kenyataan yang sama, beliau turut membidas tindakan Adenan yang terus-terusan menyalahgunakan kuasa imigresen negeri untuk menghalang pemimpin parti pembangkang berkempen di sana menjelang pilihanraya negeri yang bakal bermula pada 7 Mei depan.

Beliau berkata, Seksyen 67 dalam Akta Imigresen jelas menyatakan bahawa kerajaan negeri tidak boleh menghalang mana-mana pihak memasuki Sarawak atas tujuan aktiviti politik, justeru Adenan tidak berhak menghalang mereka daripada berkempen di negeri itu.

“Kami ke sini untuk membantu DAP Sarawak dalam kempen mereka. Ia tidak bercanggah dengan Seksyen 67.

“Malah, kami (DAP) datang ke sini kerana kami sayangkan Sarawak. Jadi, bagaimana mereka boleh menghalang kami dari menunjukkan kecintaan kami kepada negeri ini? Ia amat tidak demokratik dan bersifat diktator,” katanya.

Menurutnya, beliau tiba di Lapangan Terbang Sibu bersama 10 ahli rombongan delegasi dari Perak, namun hanya beliau sahaja yang dilarang masuk ke negeri itu.

“Perbuatan Adenan itu bertentangan dengan semangat demokrasi. Amat memalukan apabila seorang rakyat Malaysia yang patriotik tidak dibenarkan masuk ke mana-mana negeri dalam negaranya sendiri tanpa apa-apa sebab,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua rakyat Sarawak untuk bangkit dan membantah penyalahgunaan kuasa yang terus dilakukan oleh pemerintah sedia ada dengan mengundi menentang Barisan Nasional pada 7 Mei ini.

“Kita mesti menghentikan BN daripada terus menyalahgunakan kuasa. Jika tidak, tidak akan ada kedaulatan undang-undang dan hanya undang-undang rimba yang terpakai di negara kita. Ia sangat berbahaya,” katanya. – Roketkini.com