Berita

Adenan Satem terus salah guna kuasa, Ketua Menteri Pulau Pinang ‘dalam pemerhatian’ imigresen

KUALA LUMPUR, 23 APRIL: Pemangku Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem, terus bertindak menyalahgunakan kuasa imigresen negeri itu dengan menggunakannya sesuka hati terhadap pemimpin parti pembangkang, termasuk yang memegang jawatan kerajaan, menjelang plihanraya negeri Sarawak 7 Mei depan.

Semalam, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dimaklumkan bahawa beliau berada ‘dalam pemerhatian’ imigresen Sarawak semasa tiba di Lapangan Terbang Sibu untuk turut sama berkempen sempena pilihanraya tersebut.

“Buat kali pertama, saya disuruh masuk ke dalam bilik imigresen dan terpaksa menunjukkan IC (kad pengenalan) untuk memasuki Sarawak. Tidak pernah sebelum ini.

“Saya juga kemudiannya dimaklumkan bahawa selepas mendapat pengesahan, untuk kali ini tidak ada apa-apa masalah, tetapi pada bila-bila masa saja, saya boleh disuruh pulang ke Semenanjung atau keluar dari Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan dalam sebuah video yang dimuat turun di laman Facebook DAP.

Sehubungan itu, Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, insiden itu jelas menunjukkan bahawa Adenan akan bertindak dengan lebih keras lagi terhadap pemimpin parti pembangkang dengan menyalahgunakan kuasa imigresen.

“Ia merupakan tanda jelas bahawa Adenan akan berkeras untuk menghalang pemimpin-pemimpin parti pembangkang, tidak kira Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri. (Adenan) tidak kira ahli EXCO dari kerajaan Pulau Pinang atau Speaker DUN Selangor.

“Saya tidak faham bagaimana Speaker DUN Selangor, Hannah Yeoh, boleh dilarang masuk. Beliau bukanlah seorang ekstremis tetapi seorang Speaker Dewan Undangan Negeri.

“Jelas bahawa Adenan sedang menyalahgunakan kuasa dengan begitu keras,” katanya.

Hari ini, Pengerusi DAP Perak merangkap Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming, menjadi mangsa terbaru kuasa imigresen Adenan apabila disekat masuk ke Sarawak ketika tiba di Lapangan Terbang Sibu tengah hari tadi.

Nga kini merupakan pemimpin DAP kesepuluh dilarang masuk ke negeri tersebut. – Roketkini.com