Berita

Sarawak: Demi Pakatan, calon muda DAP Aziz tukar kerusi, bakal berentap veteran BN

KOTA SAMARAHAN, 24 APRIL: Walaupun terpaksa bertukar kawasan dengan PKR, calon termuda DAP yang bakal bertanding di DUN N17 Stakan, Abdul Aziz Isa, menerima keputusan pertukaran itu dengan hati terbuka demi semangat setiakawan Pakatan Harapan.

Beliau yang sebelum ini dijangka bertanding di DUN N13 Batu Kitang berkata, pertukaran kawasan bukanlah penyebab untuk beliau berputus asa, malah menganggapnya sebagai cabaran yang perlu dihadapi dengan positif dalam dunia politik.

“Orang muda, khususnya dalam Pakatan Harapan, perlu mempunyai keberanian untuk berhadapan dengan apa juga cabaran,” ujar calon berpotensi DAP yang berusia 26 tahun itu.

Beliau berkata, bakal lawannya di kerusi DUN Stakan itu mempunyai pertalian saudara, iaitu Datuk Seri Mohd Ali Mahmud, yang mewakili Barisan Nasional daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Ali, 66, merupakan adik kepada bekas Ketua Menteri, Tun Taib Mahmud, yang kini memegang jawatan Yang Dipertua Negeri Sarawak.

“Ini pertama kali berlakunya pertembungan sebegini di kerusi baru di Sarawak,” kata Aziz yang juga graduan Sarjana Muda Politik dan Pemerintahan Universiti Malaysia Sarawak itu.

Bagaimanapun, pertalian hubungan keluarga bukanlah penghalang bagi Aziz untuk memberi saingan sengit kepada lawannya dalam pilihanraya itu kerana, kata beliau, yang penting ialah mutu perkhidmatan seseorang wakil rakyat di kawasan yang diwakili.

“Berdasarkan maklumat dan pemerhatian, pengundi dalam kawasan Kota Samarahan yang terdiri dari kaum Iban, Bidayuh, Melayu dan Cina kecewa dengan prestasi khidmat Datuk Seri Ali Mahmud kerana jarang turun padang untuk memberi khidmat kepada rakyat yang memerlukan,” jelasnya.

Sebelum DUN Sarawak dibubarkan pada 11 April lalu, Ali adalah Adun Muara Tuang. Beliau akan dicalonkan BN ke kawasan ‘jiran’ DUN Stakan yang merupakan satu kerusi baru dalam Parlimen Kota Samarahan.

Bagi Aziz, adalah lebih baik untuk Ali sebagai ahli politik veteran mengikut jejak langkah abangnya, Tun Taib, dengan bersara daripada politik.

“Tiada guna untuk terus mempertahankan ego. Pengundi Stakan memerlukan seorang wakil rakyat yang mampu untuk berkhidmat, muda, rendah diri, bertenaga dan berwawasan.

“Berilah peluang kepada anak muda seperti saya untuk menjadi wakil kepada rakyat di N17 Stakan,” ujar beliau.

N17 Stakan memiliki 14,867 pengundi berdaftar, dengan 7,059 pengundi pos yang membentuk 47.48 peratus. Ia dilihat merupakan kawasan yang memiliki pengundi pos tertinggi di Malaysia. – Roketkini.com