Berita

Sarawak: Samalaju kaya hasil bumi tapi mundur kerana politik Barisan Nasional

BINTULU, 24 APRIL: DAP bukan sahaja membuka peluang kepada golongan muda untuk menjadi calon di kerusi yang ditandinginya, malah memberi peluang yang sama kepada golongan berpengalaman untuk menyumbang tenaga dan kepakaran kepada rakyat.

Calon DAP bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.70 Samalaju, Baba Emperan, 48, yang merupakan anak kelahiran daerah berkenaan telah menceburi bidang minyak dan gas sejak tahun 1988 sehingga berjaya membuka syarikat berkaitan sektor terbabit pada tahun 2006.

Berasal daripada keturunan Dayak dari suku kaum Iban, beliau yang berpengalaman luas selama hampir 30 tahun di dalam sektor yang menjadi penggerak kepada ekonomi serta pendapatan negara itu berpendapat bahawa penduduk di daerah Samalaju telah dianaktirikan sekian lama oleh pemerintah Barisan Nasional.

Katanya, walaupun daerah itu kaya dengan hasil bumi seperti minyak mentah dan gas asli, pembangunan di kawasan itu dilihat jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan kawasan di negeri lain terutamanya di Semenanjung Malaysia dan di kawasan bandar.

“Hasil terbesar Malaysia adalah daripada Samalaju kerana sumber utama negara adalah minyak. Malah Putrajaya didirikan daripada hasil Samalaju,” tegasnya.

Ketika dihubungi Roketkini.com, Baba turut meluahkan kekesalan kerana 70 peratus kawasan di daerah Samalaju, khususnya di pedalaman, masih tidak mempunyai keperluan asas yang mencukupi.

“Kawasan ini nampak jauh ketinggalan, selepas 53 tahun di dalam pemerintahan BN, Samalaju jauh ketinggalan daripada kemudahan-kemudahan asas, seperti elektrik, jalan raya, air bersih.

“Jika ada pun, elektrik terpaksa menggunakan generator, jalan pula tidak berhubung, malah air yang kami terima sangat kotor,” katanya sambil menambah kesan daripada kekurangan itu, penduduk terpaksa mengalami kesukaran untuk melakukan kerja-kerja dan rutin harian.

Terletak berdekatan pesisir laut, Samalaju mempunyai 13,251 bilangan pengundi yang terdiri daripada 60.5 peratus orang Iban, orang Melayu dan Melanau (20.3 peratus), kaum Cina (15 peratus), Bidayuh (1.8 peratus), Orang Ulu (2 peratus) dan lain-lain (0.4 peratus)

Samalaju terletak di bawah Parlimen Bintulu dan merupakan antara 11 kerusi DUN baru yang diperkenalkan tahun ini.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai peluang untuk memenangi kerusi DUN Samalaju, Baba berkata, melihat daripada sokongan dan sambutan baik yang diterima DAP, beliau optimis untuk menumbangkan calon BN, Majang Renggi yang juga merupakan Setiausaha Politik kepada Pemangku Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem.

“Peluang untuk menang itu memang ada, sebab saya sendiri sebagai anak kelahiran Samalaju, dan saya sendiri tahu masalah yang dihadapi masyarakat, terutamanya dari segi pekerjaan,” ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai peluang pekerjaan di kawasan itu, beliau berkata, peluang pekerjaan yang seharusnya diberikan kepada penduduk, khususnya anak muda di kawasan berkenaan telah dirampas oleh orang asing.

“Penduduk Samalaju memang tertindas dengan kemasukan warga asing yang bekerja di sini dan golongan muda yang dinafikan hak pekerjaan terpaksa menerima hakikat bahawa mereka dibuang di dalam negeri sendiri,” katanya.

Justeru, menurut Baba, janji yang ditaburi BN setiap kali pilihanraya negeri Sarawak hampir tiba berkaitan pembangunan kemajuan dan insan hanyalah cakap-cakap kosong yang tidak pernah ditepati sejak sekian lama parti itu memerintah Malaysia. – Roketkini.com